Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
MARAN: Episod fenomena air Sungai Pahang menjadi cetek dan kering yang berlaku setiap tahun membantu penternak ikan sangkar daripada menanggung kerugian disebabkan ikan mati.
Penternak lebih awal bertindak tidak memasukkan benih ikan termasuk segera menjual ikan sebelum berlaku kejadian sangkar berada diatas pasir.
Air sungai yang cetek dan tidak mengalir di kawasan Kampung Pesagi, dekat Chenor, di sini menyebabkan air menjadi panas serta kotor, ikan yang berada dalam sangkar pada bila-bila masa akan mati.
Bagi Mohd Khairul Nizam Omar, 43, yang mengusahakan projek ternakan ikan sangkar di Kampung Pesagi berkata, air Sungai Pahang kini semakin hari semakin cetek dan beberapa tempat kering kesan daripada fenomena EI Nino.
“Kejadian kemarau tahun ini boleh dikatakan lebih buruk berbanding tahun lalu terutama apabila dataran pasir berlaku di beberapa kawasan sepanjang Sungai Pahang yang terkenal sebagai sungai terpanjang di semenanjung,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurutnya, musim kemarau kali ini menyebabkan lebih 50 sangkar miliknya kini tersadai, bagaimanapun semua ikan patin dan tilapia terlebih dahulu dijual secara berperingkat sebelum ini.
“Kejadian air Sungai Pahang menjadi cetek dan kering di daerah ini mula berlaku sejak empat tahun lalu dan saya tidak menyangka ia bertambah serius tahun ini terutama apabila terbentuk beting pasir luas di beberapa kawasan sepanjang sungai.
“Air Sungai Pahang menjadi cetek dan kering berikutan cuaca panas berpanjangan yang menyebarkan berlaku musim kemarau, faktor hujan tidak berlaku di sebelah ulu sungai terutama di Jerantut mengundang kejadian buruk itu berlaku,” katanya.
Katanya, pengalaman sebelum ini menjadi pengajaran berguna kepada penternak ikan patin dan tilapia di daerah ini apabila segera menjual ikan sebelum tiba musim kemarau serta tidak memasukkan benih ikan pada pertengahan tahun ini.
“Saya dan penternak ikan sangkar di sini hanya mampu berdoa setiap hari semoga musim kemarau tidak terus berlarutan dan kehadiran hujan dalam masa terdekat dapat meningkatkan paras air Sungai Pahang di daerah ini,” katanya yang mula menternak ikan sangkar sejak 2015.
Rakannya, Mohd Fadli Abdul Malek, 47, berkata, beberapa sangkar ikan miliknya kini tersadai diatas pasir sejak beberapa minggu lalu disebabkan musim kemarau yang berlarutan.
Menurutnya, selepas menanggung kerugian besar sebelum ini, dia mengambil pendekatan dengan menjual semua ikan sebelum musim kemarau.
“Risiko dihadapi penternak ikan sangkar di Kampung Pesagi setiap tahun bukan sahaja disebabkan harga makan ikan yang meningkat tetapi lebih serius air Sungai Pahang yang kering hingga menyebabkan sangkar ikan beada diatas beting pasir,” katanya.
IMedikel TV






