Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@ IMedikel TV
KOTA BHARU: Bukan sekadar berarak, sebaliknya membawa mesej bahawa semangat kemerdekaan adalah milik semua.
Itu kelainan yang ditampilkan kontinjen IMedikel Pharma Holding Berhad (IMPHB) ketika menyertai perbarisan sempena Sambutan Ambang Kemerdekaan Ke-69 di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.
Buat kali ketiga menyertai perbarisan berkenaan, IMPHB tampil dengan kelainan apabila membawa tiga kerusi roda bersama kontinjen mereka, sekali gus mencuri perhatian dalam himpunan 69 kontinjen yang mengambil bahagian.
Bagi Presiden IMPHB, Yusmat Mamat, penyertaan kali ketiga itu amat bermakna, apatah lagi apabila pihaknya diberi peluang untuk bersama-sama memeriahkan sambutan kemerdekaan di pentas berkenaan.
“Terima kasih kepada semua pihak yang memberikan peluang kepada IMPHB untuk menyertai perbarisan ini buat kali ketiga.
“Kami sangat menghargai peluang yang diberikan. Penyertaan kali ini lebih bermakna kerana kami hadir dengan kelainan dan membawa tiga kerusi roda bersama kontinjen,” katanya.
Menurutnya, kehadiran tiga kerusi roda itu bukan sekadar kelainan dalam perbarisan, tetapi turut membawa mesej bahawa setiap lapisan masyarakat mempunyai hak dan ruang untuk meraikan kemerdekaan.

“Semangat patriotisme tidak seharusnya diukur berdasarkan kemampuan seseorang untuk melangkah atau berlari, sebaliknya melalui semangat kebersamaan dan kesediaan untuk turut serta dalam meraikan negara.
“Bagi kami, kemerdekaan adalah milik semua. Walaupun langkah kita mungkin berbeza, semangat kita tetap sama untuk bersama-sama meraikan kemerdekaan,” katanya.
Sambutan Ambang Kemerdekaan Ke-69 malam ini dimeriahkan dengan penyertaan 69 kontinjen membabitkan pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, institusi pendidikan serta organisasi lain.

Antara kontinjen yang turut mengambil bahagian termasuk Briged 8, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Perhutanan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan, ICU Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK).
Bagi warga IMPHB, penyertaan kali ini bukan sekadar memenuhi barisan perbarisan, sebaliknya menjadi simbol penghargaan terhadap peluang yang diberikan untuk bersama-sama rakyat Kelantan menyemarakkan semangat kemerdekaan.
Tiga kerusi roda yang dibawa malam ini akhirnya membawa satu mesej yang cukup sederhana tetapi bermakna dalam meraikan kemerdekaan, setiap langkah mempunyai nilai dan tiada siapa seharusnya ditinggalkan.
IMedikel TV






