Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Sambutan Ambang Kemerdekaan tidak seharusnya berakhir selepas bunga api menerangi langit atau laungan merdeka bergema, sebaliknya perlu meninggalkan semangat cinta akan negara yang terus membara dalam jiwa setiap rakyat.
Itu mesej utama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, ketika berucap pada Sambutan Ambang Kemerdekaan Ke-69 di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Beliau berkata, puluhan ribu rakyat Kelantan yang membanjiri stadium membuktikan semangat patriotisme masih subur dalam kalangan rakyat negeri itu, selain menjadi tanda kesyukuran terhadap nikmat kemerdekaan yang dikurniakan Allah SWT.
“Saya tidak mahu rakyat negeri Kelantan hadir pada malam ini sekadar menyaksikan keindahan bunga api, kemudian pulang hanya membawa kegembiraan yang sementara.
“Saya mahu kita semua pulang dengan jiwa yang berkobar-kobar, iaitu dengan semangat cinta akan negara yang semakin subur dalam jiwa, semakin teguh dalam diri dan seterusnya diterjemahkan serta dibuktikan melalui tindakan kita,” katanya.
Menurut beliau, kecintaan kepada tanah air bukan sekadar dizahirkan melalui kata-kata, tetapi perlu diterjemahkan menerusi usaha mempertahankan kedaulatan, memelihara keamanan dan memakmurkan negara.
Katanya, semangat hubbul watan atau kecintaan kepada tanah air juga perlu bergerak seiring dengan nilai dan petunjuk Islam dalam membentuk masyarakat serta membangunkan negara.
“Agama dan negara adalah saudara kembar yang tidak boleh dipisahkan. Atas semangat hubbul watan inilah sejarah tanah air kita terpahat dengan rantaian perjuangan para pejuang kemerdekaan yang bangkit mempertahankan bumi tercinta dengan keberanian dan pengorbanan.
“Mereka tidak pernah tunduk kepada penjajahan sehingga laungan kemerdekaan bergema pada 31 Ogos 1957,” katanya.
Mohd Nassuruddin berkata, generasi hari ini mempunyai tanggungjawab besar untuk menghargai setiap titisan keringat, air mata dan darah yang dicurahkan pejuang terdahulu dengan memastikan warisan kemerdekaan terus dipelihara.
Beliau berkata, kemerdekaan memberikan rakyat kuasa menentukan haluan negara, membina masa depan dan mengangkat martabat tanah air berdasarkan acuan sendiri tanpa tunduk kepada kehendak kuasa asing.
“Sebagai umat Islam, kemerdekaan yang dicapai memberikan ruang kepada kita untuk membangunkan negara agar selari dengan kehendak al-Quran dan as-Sunnah.
“Kita wajib menjadikan petunjuk al-Quran sebagai asas untuk memimpin rakyat, membangunkan negeri, memakmurkan tanah air dan mencorakkan masa depan negara dengan penuh keyakinan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggariskan tiga tindakan utama yang perlu diberi perhatian bagi memastikan kemerdekaan terus mempunyai makna kepada generasi akan datang.
Pertama, katanya, nilai patriotisme atau hubbul watan perlu diperkukuh dalam diri setiap anak watan berasaskan petunjuk al-Quran dan as-Sunnah serta penghayatan terhadap sejarah perjuangan negara.
Kedua, generasi pewaris negara perlu dipersiapkan dengan kualiti dari segi keteguhan jati diri dan kemantapan pemikiran bagi memastikan kedaulatan negara terus berdiri di persada dunia.
Ketiga, beliau menyeru supaya perpaduan diperkasakan tanpa mengira agama dan bangsa dengan menghormati hak serta prinsip asas negara seperti yang terkandung dalam Rukun Negara.
“Apabila ketiga-tiga asas ini berpadu, kita mampu mempertahankan kedaulatan, memelihara keamanan dan membawa negara menuju masa depan yang lebih gemilang,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat Kelantan supaya menjadikan sambutan kemerdekaan sebagai titik untuk memperbaharui azam dan memperteguh tekad bagi terus memajukan serta memakmurkan Kelantan khususnya dan Malaysia amnya.
“Marilah kita melangkah dengan penuh keyakinan, menyatukan tenaga dan menggandakan usaha demi membina masa depan yang lebih cemerlang, bermaruah dan diberkati Allah SWT.
“Dengan perpaduan yang kukuh, kepimpinan yang amanah dan usaha yang berterusan, kita mampu memelihara kedaulatan serta mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara yang dihormati dan disegani,” katanya.
IMedikel TV






