PARIS: Lebih 2,500 bangunan musnah di Lembah Trishuli, Nepal akibat banjir glasier seperti tsunami pada 26 Ogos lalu, berdasarkan pengiraan AFP terhadap data daripada balai cerap Copernicus Eropah.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, jumlah itu kira-kira dua pertiga daripada keseluruhan bangunan di tiga zon yang berpotensi terjejas dan dikaji oleh perkhidmatan pengurusan kecemasan Copernicus.
Jika bangunan yang mengalami kerosakan sebahagian turut diambil kira, lebih tujuh daripada setiap 10 struktur terjejas, sekali gus menggambarkan kemusnahan dahsyat apabila banjir deras membadai lembah berkenaan.
Kawasan itu, yang merangkumi sebahagian bandar Timure, Syabrubesi dan Bidur, di utara ibu negara Kathmandu, dihuni hampir 6,000 penduduk sebelum bencana berkenaan.
Imej kawasan sekitar Bharatpur, bandar ketiga paling ramai penduduk di Nepal, masih dianalisis pada pagi Isnin.
Saintis mengaitkan banjir kilat itu dengan runtuhan glasier besar di Himalaya.
Air bah melanda pos sempadan Gyirong antara Nepal dan Tibet, wilayah autonomi China, selepas mengalir deras kira-kira 20 kilometer dari kawasan glasier berkenaan.
Bandar kecil sempadan Timure dan kawasan sekitarnya kehilangan lebih 80 peratus bangunan.
Kira-kira 10 kilometer ke selatan, kawasan Syabrubesi yang dilanda bencana kehilangan hampir 75 peratus daripada bangunannya.
Kampung itu adalah titik permulaan laluan pendakian Langtang yang terkenal serta laluan yang kerap digunakan jemaah Hindu.
Lebih ke hilir, tebing sungai sekitar Bidur — pusat pentadbiran daerah Nuwakot dan pangkalan pasukan penyelamat — menyaksikan lebih 1,800 bangunan musnah, iaitu tiga daripada setiap lima bangunan.
Selain kediaman, bencana itu turut memusnahkan jalan raya dan jambatan, sekali gus menyukarkan usaha menghantar bantuan serta mencari mangsa yang masih hilang. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






