Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA KRAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) menyerbu sebuah premis borong dan runcit di Jalan Batu Balai, di sini, pada Isnin selepas disyaki menjual barangan tiruan berjenama.
Menurut Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, serbuan dijalankan pada jam 11.33 pagi sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN Cawangan Kuala Krai susulan aduan diterima daripada pemilik cap dagang berhubung penjualan produk tersebut di premis terbabit.
“Hasil pemeriksaan menemukan beberapa kotak gegelung ubat nyamuk disyaki tiruan yang berada dalam milikan serta kawalan pemilik premis bagi tujuan perdagangan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 2,516 unit gegelung ubat nyamuk dengan nilai rampasan melebihi RM5,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, wakil pemilik cap dagang yang hadir turut mengesahkan bahawa barangan berkenaan adalah barangan tiruan.
Seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun, dipercayai pemilik premis disyaki melakukan kesalahan memiliki barangan tiruan bagi maksud perdagangan di bawah akta berkenaan.
Justeru, menurut Azman kes terbabit disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
Azman menegaskan, KPDN Kelantan memandang serius aktiviti penjualan barangan tiruan yang boleh menjejaskan hak pemilik cap dagang dan mengelirukan pengguna.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga yang melakukan kesalahan terbabit,”katanya.
IMedikel TV






