Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seramai 4,000 pelajar dari empat sekolah di Kelantan terlibat dalam Program Pentarama X Kelab Malaysiaku yang berlangsung selama tiga hari bermula 26 hingga 28 Oktober ini.
Penolong Pengarah Cawangan Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Hasim Mohamed, berkata antara sekolah yang terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim 1 dan SMK Tendong di Pasir Mas, SMK Cabang Empat di Tumpat serta SMK Jenis Chung Hwa di Kota Bharu.

“Empat sekolah ini dipilih kerana mempunyai pelajar daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan Siam.
“Kelantan juga adalah negeri terakhir yang dijelajah dalam siri program jelajah (road tour) ini, tujuan pelaksanaan Program Pentarama X Kelab Malaysiaku adalah untuk menyampaikan mesej kenegaraan kepada pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Pentarama X Kelab Malaysiaku di SMK Jenis Chung Hwa, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr. Hafidzah Mustakim.

Menurutnya, program itu berkonsepkan hiburan berinformasi dan memberi penjelasan kepada pelajar sekolah menengah mengenai manfaat pelaksanaan dasar serta inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan.
“Melalui inisiatif ini, kita sampaikan pelbagai perkara termasuk isu semasa, rukun negara, kuiz serta nyanyian patriotik dengan konsep hiburan dan sembang santai,” katanya.
Beliau berkata, kemungkinan program tersebut akan diperluaskan kepada Kelab Malaysiaku di sekolah lain memandangkan sambutan yang menggalakkan.
Jelasnya, sebanyak 81 Kelab Malaysiaku ditubuhkan di sekolah-sekolah negeri ini.
Sementara itu Dr. Hafidzah menyifatkan penglibatan anak muda dalam program itu sebagai usaha berkesan untuk memupuk keharmonian dan perpaduan.
Seorang pelajar Tingkatan 1 yang ditemui, Angelverda Suwai, meluahkan rasa teruja apabila berpeluang menyertai kuiz patriotik sepanjang program berlangsung.

“Saya rasa bangga dapat sertai program sebegini kerana dapat belajar banyak ilmu baharu tentang kenegaraan,” katanya.
IMedikel TV






