Home Luar Negara KABINET THAILAND LULUSKAN KUTIPAN CUKAI KARBON

KABINET THAILAND LULUSKAN KUTIPAN CUKAI KARBON

BANGKOK: Kabinet Thailand hari ini bersetuju untuk mengenakan cukai karbon sebanyak 200baht (RM26.33) bagi setiap tan pelepasan karbon, sebagai sebahagian daripada usaha negara itu untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan, Timbalan Menteri Kewangan, Paopoom Rojanasakul, berkata cukai itu akan dimasukkan ke dalam cukai minyak sedia ada dan tidak akan menjejaskan harga runcit minyak atau produk minyak.

“Langkah ini merupakan perubahan dalam struktur dalaman cukai eksais yang mengira harga karbon tertanam dalam cukai minyak.

“Penentuan harga karbon tidak akan menjejaskan kos sektor industri dan tidak akan menjejaskan harga runcit minyak,” katanya.

Tambah Papoom, Langkah itu bertujuan membantu mengubah tingkah laku pengguna menjadi mesra alam dan membantu dalam rundingan perdagangan antarabangsa yang mengutamakan kesan alam sekitar.

Thailand menyasarkan neutraliti karbon menjelang 2050 dan pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2065, sementara industri automotif dan minyak merupakan sumber 70 peratus daripada pelepasan karbon, katanya.

Produk yang akan tertakluk kepada mekanisme harga karbon termasuklah petrol, gasohol, minyak tanah, minyak jet, diesel biodisel, gas petroleum cecair dan minyak bahan api, kata Paopoom.

Thailand memperkenalkan cukai itu bagi meningkatkan usaha negara dalam mengurangkan pelepasan gas rumah kaca, yang diumumkan semasa Forum Pembangunan Lestari 2025 oleh Pengarah Jeneral Jabatan Eksais, Kulaya Tantitemit.

Memetik data dari Forum Ekonomi Dunia (WEF), Kulaya menekankan bahawa negara yang melaksanakan cukai karbon telah mencapai pengurangan purata tahunan sebanyak dua peratus dalam pelepasan karbon.

Sebaliknya, negara yang tidak mempunyai mekanisme harga karbon mengalami peningkatan tahunan sebanyak 3 peratus dalam pelepasan karbon.

Kulaya memberi jaminan kepada pihak berkepentingan bahawa pelaksanaan cukai karbon tidak akan membebankan pihak pengusaha petroleum atau pengguna.

Thailand kini mengeluarkan 372 juta tan karbon setiap tahun, dengan 70 peratus daripada pelepasan terbabit datangnya dari sektor tenaga dan pengangkutan.

Pelepasan yang berkaitan dengan tenaga sahaja menyumbang 37 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Kerajaan Thailand menetapkan sasaran yang sangat mencabar untuk menanganinya, dengan mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 30 hingga 40 peratus menjelang 2030, mencapai neutraliti karbon menjelang 2050, dan mencapai sifar bersih pelepasan menjelang 2065. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here