Home Sukan KBS TAK CAMPUR TANGAN URUSAN FAM KENDALI PEMAIN WARISAN

KBS TAK CAMPUR TANGAN URUSAN FAM KENDALI PEMAIN WARISAN

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan bahawa pihaknya tidak akan campur tangan dalam urusan pentadbiran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) termasuk membabitkan kehadiran enam hingga tujuh pemain warisan baharu bagi skuad Harimau Malaya namun mereka tetap komited memberikan sokongan penuh kepada badan induk itu dalam usaha memajukan bola sepak negara.

Menurut menterinya, Hannah Yeoh kepimpinan FAM kini sedang memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses pemilihan dalaman organisasi berkenaan.

Bagaimanapun, KBS sedia membuka pintu untuk perbincangan dan menyokong sebarang keperluan lain selepas FAM menyelesaikan pada Pemilihan FAM bagi penggal 2025-2029 pada 15 Februari depan

“Setakat ini, saya belum menerima sebarang dokumen berkaitan. Namun, saya percaya apabila mereka bersedia, mereka akan datang kepada kami. Kami bersedia melihat bagaimana sokongan dapat diberikan,” katanya di Majlis Pelancaran Liga Super Bola Jaring (NSL) hari ini.

Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengesahkan bahawa enam hingga tujuh pemain warisan sudah dikenal pasti untuk memperkuatkan skuad Harimau Malaya.

Perkembangan itu dikongsikan Tunku Mahkota Ismail yang menjadi tulang belakang kepada penstrukturan revolusi Harimau Malaya menerusi laman Instagram miliknya.

Dalam perkembangan berkaitan, skuad Harimau Malaya juga bakal menerima suntikan dana tambahan RM30 juta bagi tahun 2025, dengan sebahagiannya ditambah melalui tajaan pihak swasta.

Tambah Hannah, pemantauan dan penyelarasan peruntukan ini akan dilakukan dengan kerjasama rapat antara KBS dan Kementerian Kewangan bagi memastikan pengagihan dana berjalan lancar. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here