Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Sebanyak RM668 juta diperuntuk bagi meningkatkan akses internet di 23 universiti awam di seluruh negara tahun ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) untuk meningkatkan kesedaran supaya para pelajar dapat memanfaatkan internet dengan selamat.

“Sebanyak RM688 juta akan dibelanjakan untuk menyelesaikan masalah internet di universit awam selain peruntukan yang disediakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
“Kita akan meningkatkan kesedaran kepada pelajar agar tidak menajdi mangsa scam, buli siber dan jenayah-jenayah lain yang mungkin boleh berlaku dalam media sosial,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian, di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengakalan Chepa, di sini, hari ini.
Menurutnya kira-kira 1,000 titik akses piawai untuk rangkaian kawasan setempat tanpa wayar (Wi-Fi) akan dipasang di tiga kampus UMK.

“Kalau di tiga kampus UMK, dalam fasa kedua dalam masa terdekat ini, kita akan pasang hampir 1,000 titik akses Wi-Fi.
“Ini akan dapat membantu meningkatkan capaian Wi-Fi bagi para pelajar yang menggunakan akses di kampus.
“Sebelum ini antara aduan yang diterima oleh pihak universiti dan KPT kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) adalah kemudahan internet ada tetapi signal Wi-Fi rendah. Jadi ini yang kita usahakan selain daripada tiada rangkaian bagi telefon mudah alih (mobile coverage) dengan menambah menara bagi perkhidmatan telekomunikasi mudah alih di luar kampus,”katanya.
Beliau berkata fasa pertama sudah bermula di tiga universiti awam iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) dan dijangka siap pada 5 Februari depan.
IMedikel TV






