Home Buletin Semasa JURUTERA AWAM DIDAKWA 14 PERTUDUHAN, MENGAKU TIDAK BERSALAH TERIMA SUAPAN RM100,000 KES...

JURUTERA AWAM DIDAKWA 14 PERTUDUHAN, MENGAKU TIDAK BERSALAH TERIMA SUAPAN RM100,000 KES PROJEK LEBUHRAYA

374
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seorang Jurutera Awam Kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kesedar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 14 pertuduhan menerima suapan wang tunai RM100,000 antara Disember 2022 hingga Oktober 2023.

Tertuduh, Azly Abdul Aziz, 44 membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan satu hingga 14, tertuduh didakwa menerima suapan, iaitu wang tunai di antara RM5,000 hingga RM10,000 dengan jumlah keseluruhan RM100,000 daripada seorang kontraktor secara pemindahan atas talian melalui sebuah akaun bank sebagai upah mengesyorkan perakuan tuntutan bayaran interim bagi projek Lingkaran Tengah Utama Pakej 3 Gua Musang, Kelantan ke Kg Relong, Pahang.

Pertuduhan itu didakwa dilakukan di sebuah bank cawangan Jalan Maju, di sini, antara 22 Disember 2022 sehingga 31 Oktober 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob manakala tertuduh diwakili peguam Azeezi Nordin.

Terdahulu, Tengku Nurul Haziqah mencadangkan ikat jamin sebanyak RM20,000 namun Azeezi memohon pengurangan jaminan RM8,000 memandangkan tertuduh masih bercuti tanpa gaji.

“Selepas tertuduh ditahan reman dan bebas dalam siasatan, tertuduh mengalami kemurungan dan memohon cuti tanpa gaji bermula 26 November 2024 hingga 26 November tahun ini.

“Apabila tertuduh mengetahui akan dituduh, tertuduh mengalami tekanan dan memilih untuk meletakkan jawatan sebagai jurutera, oleh itu bermula 18 Jun ini, beliau bukan lagi penjawat awam,” katanya dalam hujahan.

Jelasnya, tertuduh kini bekerja sebagai penjual sabun dan pemandu e-hailing dengan pendapatan RM3,000 sebulan, selepas mengalami trauma ketika bekerja sebagai jurutera.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin serta tertuduh perlu menyerahkan passportnya kepada mahkamah dan perlu melapor diri di pejabat SPRM selama sebulan sekali.

Hakim menetapkan 17 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here