Home Luar Negara JURURAWAT PARAH DITIKAM PESAKIT KLINIK GIGI

JURURAWAT PARAH DITIKAM PESAKIT KLINIK GIGI

70
0

INDONESIA: Polis masih menyiasat motif seorang pesakit dikenali sebagai, MA, yang didakwa menikam seorang jururawat di sebuah klinik pergigian di kawasan Perumahan Total Persada, Periuk, di sini, pada Sabtu lalu, lapor Kompas.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Ketua Polis Jatiuwung, Komisioner Polis Rabiin berkata, sehingga kini, penyiasat masih belum dapat membuat kesimpulan mengenai sebab di sebalik tindakan suspek.

“Perkara ini yang sedang kami siasat, sama ada dia marah, sama ada ketika itu dia berasa sakit semasa menerima rawatan atau mungkin ada sebab lain.

“Ketika ini, siasatan lanjut dijalankan kerana apabila disoal siasat, kadang-kadang dia hanya berdiam diri. Jadi kami perlu membuat penelitian yang benar-benar mendalam dan berhati-hati,” katanya.

Bagaimanapun, jelasnya, suspek mengakui kepada polis bahawa melakukan tikaman terhadap mangsa dan membawa pisau dari rumah. 

Rabiin berkata, polis turut belum dapat mengesahkan dakwaan bahawa suspek mempunyai sejarah gangguan mental skizofrenia, iaitu satu gangguan mental yang boleh menjejaskan pemikiran, emosi dan tingkah laku seseorang.

“Jika benar dia mempunyai sejarah sedemikian, doktor psikiatri yang akan mengesahkannya, bukan sekadar dakwaan atau cakap orang,” katanya.

Difahamkan, kejadian bermula apabila MA datang ke klinik berkenaan sebagai pesakit baharu untuk menjalani prosedur pembersihan karang gigi.

Selepas rawatan selesai dilakukan oleh doktor, suspek kemudian dibantu oleh seorang jururawat.

Tidak lama kemudian, suspek masuk ke bilik air dan memanggil mangsa sebelum jururawat itu datang menemuinya.

Dalam pada itu, Rabiin berkata, mangsa kemudian terus ditikam sebaik sahaja berada di dalam bilik air.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian perut dan tangan serta masih menerima rawatan di Hospital Daerah Tangerang.

Bagaimanapun, menurut polis, keadaan mangsa dilaporkan semakin baik berdasarkan pemeriksaan terakhir yang dilakukan polis. – AGENSI, Hmetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here