Home Buletin Semasa SILAT JATUH, WARISAN MELAYU TAWAN HATI GENERASI MUDA

SILAT JATUH, WARISAN MELAYU TAWAN HATI GENERASI MUDA

54
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

BACHOK: Seni mempertahankan diri tradisional Melayu, khususnya silat jatuh, terus mendapat tempat dalam kalangan generasi muda apabila Pertandingan Sukan Seni Silat Jatuh Warisan Melayu Jati berjaya menarik kehadiran pelbagai lapisan masyarakat.

Tinjauan IMedikel TV di Kampung Seneng, Jelawat mendapati lokasi pertandingan dipenuhi pengunjung terdiri daripada golongan muda, dewasa dan warga emas yang hadir bagi menyaksikan kehebatan peserta mempamerkan kemahiran seni mempertahankan diri warisan Melayu itu.

Suasana pertandingan bertambah meriah dengan paluan gendang serta alunan muzik silat yang membangkitkan semangat peserta dan penonton, sekali gus menghidupkan lagi warisan budaya yang telah diwarisi turun-temurun.

Seorang pengunjung, Muhammad Zulhafiz Che Dahri, 25, berkata penganjuran pertandingan seumpama itu amat penting bagi memastikan seni silat jatuh terus dipelihara dan tidak hilang ditelan arus pemodenan.

“Program seperti ini sangat baik kerana dapat memastikan seni silat jatuh terus hidup dan diwariskan kepada generasi akan datang.

“Saya juga melihat ramai ibu bapa membawa anak-anak mereka menyaksikan pertandingan ini. Ini memberi peluang kepada golongan muda mengenali seni silat sejak usia kecil,” katanya ketika ditemui di pertandingan tersebut baru-baru ini. 

Menurutnya, pertandingan berkenaan bukan sahaja menjadi platform memartabatkan warisan Melayu, malah berupaya meningkatkan minat generasi muda terhadap seni mempertahankan diri tradisional.

Katanya, kehadirannya pada malam itu juga bagi memberikan sokongan kepada sepupunya, Saiful Sazuwan atau lebih dikenali sebagai Ewan Cucu Haji Slemey Khamat, yang beraksi menentang Shahrul Afizi atau Anok Putra Tok Bali.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Baihaqi Azman, 23, menyifatkan pertandingan tersebut sebagai pengalaman baharu yang membuka ruang kepadanya mengenali dengan lebih dekat seni silat jatuh.

“Sebelum ini saya hanya melihat persembahan silat di majlis perkahwinan atau program sekolah. Kali ini saya berpeluang menyaksikan sendiri pertandingan sebenar di gelanggang.

“Pengalaman ini sangat menarik kerana saya dapat melihat kemahiran peserta secara dekat dan memahami keunikan seni silat yang menjadi warisan masyarakat Melayu,” katanya.

Baihaqi berkata, dia tidak teragak-agak membeli tiket berharga RM18 semata-mata untuk merasai sendiri kemeriahan pertandingan dan menyaksikan persembahan silat jatuh yang semakin mendapat perhatian masyarakat.

Penganjuran pertandingan itu dilihat bukan sahaja berjaya mengangkat seni silat jatuh sebagai warisan budaya bangsa, malah membuktikan seni mempertahankan diri tradisional tersebut masih relevan serta terus mendapat sokongan generasi muda pada masa kini. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here