Home Sukan MENTERI BESAR TERENGGANU SIFATKAN KEJAYAAN HAKIM DANISH LUAR BIASA

MENTERI BESAR TERENGGANU SIFATKAN KEJAYAAN HAKIM DANISH LUAR BIASA

44
0

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan kejayaan pelumba muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli adalah luar biasa selepas menamatkan penantian hampir sedekad.

Memetik laporan Harian Metro, malah beliau juga menyifatkan pencapaian membanggakan itu adalah sejarah buat negara dan Terengganu pada musim pertamanya beraksi secara sepenuh masa di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia.

Terdahulu pelumba berusia 19 tahun kelahiran Kampung Surau Panjang, Kuala Terengganu itu mencipta sensasi selepas meraih podium sulung dalam Kejuaraan Motosikal Dunia sesudah menamatkan menamatkan perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Itali di tempat ketiga di Litar Mugello pada Ahad lalu.

Kejayaan itu hadir selepas anak kedua daripada tiga beradik daripada pasangan seorang mekanik dan ibunya pula merupakan suri rumah menerima tonik tambahan sebelum perlumbaan apabila dinaikkan ke petak pertama susulan pelumba pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP, David Almansa yang sepatutnya memulakan perlumbaan di petak berkenaan tidak cergas untuk beraksi.

Peluang itu dimanfaatkan sebaiknya pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu yang memperagakan tunggangan penuh bertenaga sepanjang perlumbaan itu sebelum melakar sejarah.

“Tahniah buat anak jati Terengganu, Muhammad Hakim Danish Ramli atas pencapaian membanggakan meraih podium P3 di Moto3 Grand Prix Itali, saya mengikuti perkembangannya sejak usia yang masih muda lagi.

“Daripada sebuah bakat kecil yang penuh potensi, kini pelumba itu berdiri di pentas dunia membawa nama Malaysia dengan penuh berani dan disiplin, kejayaan ini pasti lahir daripada kerja keras, pengorbanan ahli keluarga, pasukan, jurulatih serta semangat yang luar biasa daripada adik Danish,” ujar Dr Ahmad yang lebih dikenali sebagai Dr Sam.

Mengulas lanjut, beliau juga menyifatkan pencapaian membanggakan pelumba itu juga membawa mesej penting kepada generasi muda pada alaf ini.

“Hakim Danish telah membawa mesej penting kepada generasi muda negara bahawa kejayaan memerlukan kesungguhan, fokus dan keberanian untuk bermimpi lebih besar daripada kebiasaan.

“Semoga pelumba itu terus istiqamah, kekal rendah diri dan terus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa. Malaysia bangga dengan anda. Syabas Hakim Danish,” kata Dr Ahmad menerusi laman sosial peribadinya semalam.

Pada perlumbaan itu, Hakim Danish terbabit dalam saingan sengit kelompok hadapan, namun dia yang mula berjinak dengan sukan permotoran itu sejak berusia 8 tahun lagi kekal tenang untuk melintasi garisan penamat di tempat ketiga dengan catatan masa 33 minit 08.256 saat, iaitu hanya ketinggalan 0.456 saat di belakang pemenang perlumbaan, Brian Uriarte dari pasukan Red Bull KTM Ajo.

Manakala tempat kedua menjadi milik rakan sepasukannya, Alvaro Carpe.

Kejayaan di Mugello itu turut menamatkan kemarau podium Malaysia dalam saingan Moto3 sejak kali terakhir dicapai oleh Khairul Idham Pawi ketika muncul juara GP Argentina pada 2016.

Podium sulung berkenaan turut membolehkan Hakim Danish membawa pulang 16 mata berharga untuk mengekalkan kedudukan ke-11 keseluruhan dengan 43 mata dengan hanya empat mata di belakang pelumba tangga ke-10, David Munoz dari pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP dalam perebutan kelompok 10 terbaik dunia. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here