Oleh: Wartawan IMedikel TV
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor akan memohon supaya operasi pembenihan awan dilaksanakan lebih awal sebagai persediaan menghadapi kemungkinan fenomena Super El Nino yang dijangka berlaku antara Oktober hingga Disember depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata pihaknya sudah berhubung dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membuat persiapan berhubung perkara itu.

“Mungkin kali ini kita minta pembenihan awan dilakukan lebih awal sebelum berlakunya kemarau.
“Pembenihan awan sudah dilakukan di beberapa tempat, tetapi di Johor belum lagi setakat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Libat Urus Perkukuh Imej Pemandu Teksi Sempena Tahun Melawat Johor 2026 di Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Johor (JOTIC), di sini, hari ini.
Mohamad Fazli berkata, ketika ini kesemua 17 empangan di Johor masih berada dalam keadaan stabil, walaupun terdapat beberapa empangan yang berada pada tahap berjaga-jaga.
Katanya pemantauan terhadap paras air di semua empangan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan bekalan air negeri mencukupi sekiranya berlaku cuaca panas berpanjangan.
“Ada empangan yang mempunyai kapasiti untuk bertahan sehingga enam bulan lagi dan ketika ini hanya Empangan Gunung Pulai berada pada tahap berjaga-jaga.
“Biasanya empangan yang berisiko ialah Empangan Machap dan terdapat beberapa empangan lain. Bagaimanapun cuaca panas ini bukan berlaku secara keseluruhan di Johor.
“Ia mempunyai corak tertentu. Tahun lalu Empangan Machap paling terjejas, tetapi tahun ini kita jangka mungkin Empangan Gunung Pulai kerana kita melihat trend paras air yang semakin menurun,” katanya.
Mengulas persediaan lain, Mohamad Fazli berkata, kerajaan negeri turut mempertimbangkan beberapa inisiatif termasuk mengepam air dari satu sumber ke sumber air lain bagi memastikan kelangsungan bekalan, namun ia tidak dilaksanakan dalam skala besar.
Beliau berkata, pihaknya juga sudah membuat persiapan bagi menghadapi kemungkinan penyusutan paras air di beberapa empangan seperti Empangan Machap, Layang-Layang dan Empangan Lok Heng di Kota Tinggi.
“Untuk Empangan Lok Heng, kita sudah menyediakan satu pelan iaitu pelan penyahgaraman, manakala bagi Empangan Machap, kita mempunyai tambahan pam bagi memastikan kita boleh melepaskan lebih banyak air ke sungai untuk loji rawatan air kita,” katanya.
IMedikel TV






