Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Seorang lelaki maut selepas dirempuh sebuah lori di Kilometer 20, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 malam itu, mangsa yang berusia 28 tahun itu dipercayai sedang melintas jalan dari bahu kiri ke bahu kanan ketika sebuah lori jenis Isuzu dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Gua Musang menuju ke Kuala Krai.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kemalangan berlaku apabila pemandu lori dipercayai tidak sempat mengelak mangsa yang melintas secara tiba-tiba kerana jarak terlalu dekat.
“Akibat kemalangan itu, pejalan kaki berkenaan mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan hospital berkenaan ketika menerima rawatan awal,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-912 1222.
IMedikel TV






