Home Buletin Semasa HILANG KAWALAN, REMPUH BESI PENGHADANG: PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT

HILANG KAWALAN, REMPUH BESI PENGHADANG: PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

GUA MUSANG: Seorang lelaki berusia 25 tahun meninggal dunia selepas lapan hari dirawat akibat kemalangan motosikal di Kilometer 78, Jalan Gua Musang-Lojing, di sini, pada 31 Ogos lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa dipercayai hilang kawalan ketika menunggang motosikal jenis Honda RS dari arah Gua Musang menghala ke Cameron Highlands, Pahang.

Mangsa ketika itu membawa seorang pembonceng kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, motosikal berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang jalan di bahu kiri jalan.

“Akibat kemalangan itu, penunggang dan pembonceng mengalami kecederaan sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Pos Brooke untuk rawatan awal.

“Kedua-duanya kemudian dibawa ke Hospital Gua Musang bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, penunggang kemudiannya dirujuk ke Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 8.50 malam semalam.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-912 1222.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here