Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan menugaskan seramai 181 inspektor kesihatan bagi mengambil sampel juadah yang dijual di 62 bazar Ramadan di seluruh Kelantan bagi memastikan makanan tersebut tidak tercemar.
Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, sampel makanan itu akan dihantar ke makmal selepas pemeriksaan secara rambang dijalankan terhadap peniaga yang beroperasi di bazar berkenaan.

“Kita tidak menunggu sehingga berlaku kes keracunan makanan untuk mengambil sampel, sebaliknya pemeriksaan dilakukan secara rambang.
“Peniaga yang menjual makanan terutama di bazar Ramadan perlu memastikan makanan yang dijual bersih, selamat dan sihat.
“Penggunaan gula dalam masakan perlu dikurangkan walaupun Kelantan terkenal dengan makanan manis, sekali gus dapat membantu mengawal berat badan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Kanser Sedunia 2026 Peringkat Negeri Kelantan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini, pada Rabu.
Jelas beliau, makanan yang terlalu manis boleh mengundang masalah kesihatan, khususnya kepada pesakit diabetes.
Menurutnya, pesakit diabetes juga perlu mendapatkan nasihat doktor mengenai penggunaan insulin ketika berpuasa bagi mengelakkan hipoglisemia atau keadaan paras gula darah rendah yang boleh menyebabkan pengsan dan gelap mata.
Dalam pada itu, beliau berkata, JKN Kelantan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) turut mengadakan taklimat kepada pembekal makanan dua minggu lalu, termasuk memastikan semua pengendali makanan menerima suntikan vaksin tifoid.
IMedikel TV





