LOS ANGELES: Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg mendakwa beliau kesal dengan kelewatan Meta dalam mengenal pasti pengguna bawah umur di Instagram, ketika berdepan kritikan hebat dalam perbicaraan penting berhubung dakwaan syarikat itu sengaja menarik pengguna bawah 13 tahun.
Diminta mengulas aduan dalaman bahawa usaha tidak mencukupi dilakukan untuk mengesahkan sama ada kanak-kanak bawah 13 tahun menggunakan platform itu, Zuckerberg, 41, yang menerajui Meta Platforms dan turut memiliki Facebook serta WhatsApp, berkata penambahbaikan sudah dilaksanakan.
Namun, beliau berkata pihaknya sentiasa berharap dapat melakukannya lebih awal.
Zuckerberg adalah saksi yang paling dinantikan dalam perbicaraan di California itu, yang pertama dalam siri kes yang berpotensi mewujudkan duluan undang-undang bagi ribuan saman difailkan keluarga Amerika Syarikat (AS) terhadap platform media sosial.
Perbicaraan itu menandakan kali pertama bilionair berkenaan menjawab secara langsung di hadapan hakim dan di bawah sumpah mengenai aspek keselamatan platform global kendaliannya.
Menurut wartawan AFP di mahkamah, Zuckerberg pada awalnya kelihatan tenang, namun kemudian menunjukkan reaksi kurang senang, menggeleng kepala dan menggerakkan tangan ketika menjawab soalan sambil memandang ke arah hakim.
Seramai 12 hakim di Los Angeles mendengar keterangan yang semakin tegang apabila peguam plaintif, Mark Lanier, menyoal Zuckerberg mengenai pengesahan umur dan falsafah perniagaan yang menjadi panduan keputusannya dalam syarikat media sosial gergasi itu.
Zuckerberg turut berdepan beberapa e-mel dalaman, termasuk amaran rakan sekerja bahawa sistem pengesahan umur tidak berkesan serta mesej lain yang menunjukkan usaha menggalakkan pengguna meluangkan lebih masa di Instagram sekian lama menjadi matlamat utama syarikat.
Perbicaraan dijadual berlangsung sehingga akhir Mac ini, apabila hakim akan menentukan sama ada Meta serta YouTube milik Google bertanggungjawab terhadap masalah kesihatan mental yang dialami seorang wanita California berusia 20 tahun, Kaley GM yang menggunakan media sosial secara aktif sejak kecil.
Kaley mula menggunakan YouTube pada usia enam tahun, Instagram pada usia sembilan tahun, sebelum beralih ke TikTok dan Snapchat.
Kanak-kanak bawah 13 tahun tidak dibenarkan menggunakan Instagram dan Lanier menekan Zuckerberg berhubung bagaimana Kaley dapat mendaftar dengan mudah walaupun peraturan itu terkandung dalam perjanjian pengguna yang panjang dan sukar difahami oleh kanak-kanak. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






