Home Buletin Semasa JIM SERBU PUSAT HIBURAN, 89 WARGA ASING DITAHAN 

JIM SERBU PUSAT HIBURAN, 89 WARGA ASING DITAHAN 

242
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 89 warga asing termasuk empat warga tempatan dalam dua operasi besar-besaran di tiga lokasi berasingan sekitar Kuchai, Sri Petaling dan Cheras, Rabu lalu.

Ketua pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan pertama pada jam 3 petang di dua premis yang disyaki terlibat dengan aktiviti pelacuran wanita warga asing.

Katanya, dalam serbuan itu seramai 26 wanita warga asing ditahan membabitkan enam warga Thailand, lapan warga Indonesia, 11 warga Vietnam dan satu warga Myanmar kerana disyaki menawarkan perkhidmatan seks.

“Selain itu, dua lelaki Bangladesh dan Pakistan serta empat lelaki tempatan turut ditahan kerana disyaki bekerja di premis tersebut selain berkhidmat sebagai penjaga atau kapten di tempat berkenaan.

“Kegiatan yang berselindung di sebalik premis hotel murah itu menawarkan semua wanita itu bagi tujuan seks dengan harga antara RM180 hingga RM480,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Jelas Zakaria, modus operandi yang digunakan sindiket terbabit adalah mempromosikan perkhidmatan di laman sesawang dan pelanggan akan melanggan melalui aplikasi Whatsapp dan Telegram sebelum diarahkan ke lokasi tersebut.

“Serbuan kedua pada jam 10.55 malam di sebuah pusat hiburan yang menawarkan pelayan pelanggan (GRO) wanita warga asing.

“Seramai 96 wanita diperiksa namun hanya 61 yang ditahan membabitkan 44 warga Thailand, dua warga Vietnam, empat warga Laos dan dua warga Myanmar yang disyaki menjadi GRO manakala lima lagi lelaki warga Bangladesh dan empat warga Thailand turut ditahan kerana disyaki bekerja di premis terbabit,” katanya.

Ujar Zakaria, semua tahanan di bawa ke Depot Imigresen Putrajaya dan akan disiasat mengikut Seksyen 51(5((b) Akta Imigresen 1959/63.

Siasatan dijalankan mengikut pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pasport 1966.

JIM turut mengeluarkan notis kepada tujuh warganegara tempatan untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Zakaria menegaskan bahawa pihaknya akan terus menjalankan tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang melanggar undang-undang imigresen dan terlibat dalam jenayah pemerdagangan manusia.

“Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” tegasnya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here