NEW YORK: Conor McGregor memberi bayangan bakal membuat kemunculan semula dalam UFC dan mahu pertarungan itu berlangsung di perkarangan Rumah Putih.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, petarung kontroversi dari Ireland itu tidak beraksi dalam oktagon sejak Julai 2021, ketika mengalami kecederaan patah kaki yang teruk semasa menentang Dustin Poirier.
Usahanya untuk membuat kemunculan semula tahun lalu juga gagal apabila kecederaan jari kaki memaksanya menarik diri daripada pertemuan yang dijadualkan menentang Michael Chandler di Las Vegas.
Beberapa kontroversi di luar gelanggang turut menambahkan ketidaktentuan terhadap masa depan bekas juara UFC itu dalam sukan seni bela diri campuran (MMA).
Namun, selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan rancangan untuk menganjurkan acara UFC di kawasan Rumah Putih, McGregor segera menyatakan minatnya untuk terbabit.
Tambah mencetuskan spekulasi, McGregor berkata dalam satu acara Bare Knuckle Fighting Championship: “Nampaknya saya akan ke Pejabat Oval lagi. Jadi, itulah destinasi saya yang seterusnya. Tapi saya biarkan petarung lain bertarung dulu dan saya akan memberi sokong kepada mereka sepenuhnya.”
McGregor, tunangnya Dee Devlin dan empat orang anak mereka pernah melawat Trump di Rumah Putih pada Hari St Patrick, Mac lalu.
Dalam lawatan itu, McGregor turut mengumumkan hasratnya untuk bertanding untuk pemilihan Presiden Ireland.
Namun kunjungan itu berlaku hanya empat bulan selepas dia didapati bersalah dalam satu kes sivil membabitkan serangan fizikal yang berlaku pada tahun 2018. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






