KUALA LUMPUR: “Saya harap isu itu dapat diselesaikan secara baik kerana ia ibarat bapa dengan anak,” kata ibu kepada penyanyi terkenal, Shila Amzah, 34, iaitu Fauziah Sarman, 57.
Memetic laporan Harian Metro, Fauziah berkata demikian ketika diminta mengulas isu membabitkan anaknya, Shila yang mendakwa diserang seorang penyanyi legenda ketika sesi latihan konsert, baru-baru ini.
Menurut Fauziah, dia juga dapat tahu isu anaknya yang mendakwa diserang penyanyi terbabit menerusi berita yang dilaporkan pihak media.
“Saya juga ada beritahu Shila, kalau boleh selesaikan isu itu secara baik dan di luar sahaja tanpa babitkan undang-undang sebab dia (penyanyi legenda) itu orang tua dan kita pun tidak tahu ‘mood’ dan situasi dihadapinya ketika kejadian itu.
“Isu itu juga membabitkan dua nama besar dan mereka juga sudah bertahun-tahun membina nama dalam industri hiburan.
“Apapun, sebagai ibu saya tetap menyokong apa sahaja keputusan yang akan dibuat Shila nanti,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya sama ada anaknya ada masalah dengan penyanyi legenda terbabit sebelum ini, kata Fauziah, sepanjang pengetahuannya, Shila tidak ada sebarang masalah dengan mana-mana artis termasuk penyanyi terkenal itu.
“Setahu saya, Shila mempunyai hubungan yang baik dengan semua orang dalam industri seni,” katanya.
Terdahulu, satu laporan polis dibuat Shila atas dakwaan diserang penyanyi legenda itu ketika mereka sama-sama terbabit dalam sebuah acara di Stadium Merdeka.
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Shila menerusi satu hantaran di Instagram Story, yang mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat dan warga industri hiburan.
Shila turut membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan. – BH Online –
IMedikel TV






