Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan mengesan dua lelaki warga asing yang memandu dan memiliki kenderaan tanpa mempunyai lesen yang sah.
Pengarah Imigresen Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata, pihaknya menahan dua lelaki terbabit menerusi Ops Bersepadu yang dilaksanakan kira-kira jam 6 petang, Selasa lALU.
“Operasi ini tertumpu kepada sekatan jalan raya bagi mengesan salah laku dan pelanggaran peraturan lalu lintas oleh pengguna jalan raya.
“Seramai 85 pegawai dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan yang terlibat menjayakan Ops Bersepadu ini,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.
Katanya dua lelaki terbabit dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
“Kami menggesa orang ramai tampil menyalurkan maklumat tentang warga asing atau sebarang aktiviti mereka yang menyalahi undang-undang.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudahcara dan bersubahat dalam melindungi warga asing,” katanya.






