Home Buletin Semasa ANGGOTA TENTERA TERBABIT BULI BERDEPAN UNDANG-UNDANG NEGARA

ANGGOTA TENTERA TERBABIT BULI BERDEPAN UNDANG-UNDANG NEGARA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kementerian Pertahanan memandang serius isu buli yang berlaku dalam kalangan pegawai dan anggota tentera di negara ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata pihak kementerian sudah mempunyai tindakan bagi menangani isu tersebut.

“Walaupun kes buli adalah kes terpencil, tetapi kita ada banyak tindakan untuk dilaksanakan.

“Kalau kita lihat daripada kenyataan Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan itu sendiri, terdapat beberapa kes membabitkan isu buli namun kita sudah mempunyai prosedur operasi standard (SOP),”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Majlis Sambutan Aidilfitri Madani@Kota Lama, di Dewan Perniagaan Cina, di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata pihak kementerian tidak akan berkompromi kepada mana-mana pihak sekiranya terdapat kes buli.

“Terdapat dua perkara yang diberi penekanan berkenaan kes buli iaitu mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak yang terlibat. Kita tidak akan membenarkan pembulian berlaku walaupun kita amat tegas dalam latihan yang dijalankan kerana terdapat modul latihan dan kita dapat bezakan yang mana latihan dan pembulian.

“Kita memang ada jawatankuasa dan badan di peringkat dalaman yang membuat beberapa keputusan dalam kes-kes pembulian dan dalam masa sama kita memberi peringatan kepada pembuli, mereka bukan sahaja dikenakan tindakan di peringkat kementerian ataupun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetapi mereka turut berdepan dengan undang-undang negara.

“Dua perkara ini kita tegaskan walaupun kita tahu bahawa ada sebahagian yang melanggar batas ini,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes kematian anggota Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) Kem Sri Miri di Sarawak, Prebet Muhammad Muqriz Aseri, disebabkan wujud unsur kekerasan yang dilakukan terhadap mangsa.

Media sebelum ini melaporkan dua anggota tentera yang terlibat, Muhammad Afiq Syarim, 23, dari Bedong, Kedah dan Mohamad Faies Khuzaimah, 21, dari Tumpat, Kelantan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Miri atas pertuduhan menyebabkan kematian mangsa dan serta mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama kerana menyebabkan kematian.

Tegasnya pihak kementerian akan sentiasa memperkemaskan SOP di pusat pendidikan seperti Maktab Tentera Diraja (MTD).

“Kita seboleh mungkin cuba untuk mengelakkan pembulian dan di peringkat Kementerian Pertahanan, kita sudah wujudkan SOP, tetapi yang mana terlibat di pusat pendidikan iaitu MTD, kita akan perkemaskan lagi.

“Di MTD kita sudah tambah bilangan warden, kita juga sudah buat pengasingan kepada pelajar baru (junior) dan lama (senior), kita juga sudah menambah kamera litar tertutup (CCTV).

“Dalam masa sama kita bagi ruang psikologi sekiranya terdapat ciri-ciri pembulian, pelajar tersebut akan diberikan nasihatdalam konteks memberi lebih banyak peluang pendidikan dan pengajaran kepada mereka supaya tahap kesedaran itu bukan sahaja berlaku di peringkat pelajar tetapi juga kepada keluarga itu sendiri juga,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here