Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR MAS: Cubaan tiga lelaki menyeludup ayam sejuk beku dari Thailand tumpas apabila anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menahan dua buah kenderaan di sebuah premis di Jalan Meranti, di sini, pada Selasa,
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid dalam satu kenyataan berkata serbuan yang dilakukan sekitar jam 8.30 pagi itu dilakukan menerusi Op Taring Chiller.

“Pemeriksaan lanjut menemui 271 kotak ayam sejuk beku tanpa sebarang dokumen sah.
“Hasil siasatan awal mendapati kesemua ayam tersebut disyaki dibawa masuk dari Thailand melalui pengkalan haram. Tiga lelaki tempatan berusia antara 25 hingga 39 tahun turut ditahan dalam operasi tersebut,”katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata nilai keseluruhan rampasan termasuk ayam sejuk beku dan kenderaan dianggarkan sebanyak RM140,000.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, dan suspek serta barang rampasan telah diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut.
PGA dalam kenyataannya menegaskan komitmen berterusan untuk mempertingkatkan kawalan dan operasi di kawasan sempadan bagi membanteras sebarang bentuk penyeludupan yang boleh menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara.
IMedikel TV






