Home Hiburan JAMAL, HATTAN BANTU KUTIP DANA RM500,000

JAMAL, HATTAN BANTU KUTIP DANA RM500,000

264
0

KUALA LUMPUR: Majlis makan malam amal Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tengku Mahmud Besut Terengganu (TMESA), Night of Love & Compassion di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Sabtu lalu meriah dengan persembahan hebat dua penyanyi legenda tanah air, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Hattan.

Penampilan Jamal dan Hattan ternyata menambah seri majlis berkenaan dengan lontaran vokal cukup memukau termasuk celoteh mereka bersama bekas pelajar TMESA yang hadir memeriahkan malam amal itu.

Presiden TMESA, Datuk Muhammad Nasir Hamzah menzahirkan ucapan penghargaan buat dua penyanyi legenda itu atas sumbangan diberikan terhadap majlis yang sudah sekian lama tidak dianjurkan itu.

“Saya ucap terima kasih kepada Jamal dan Hattan kerana sumbangan mereka sangat besar.

“Persembahan mereka memang terbaik kerana itu juga yang dijanjikan kepada saya. Jadi, ramai puji persembahan mereka pada malam amal ini.

“Sebenarnya, acara ini bukanlah dianjurkan setiap tahun. Kali pertama kami laksanakan 20 tahun lalu. Selepas itu, kami hilang sekejap. Bila dana sudah kering, baru kami buat semula,” katanya ditemui pada majlis berkenaan di WTCKL, Sabtu lalu.

Terdahulu, majlis makan malam amal TMESA, Night of Love And Compassion berjaya mengutip dana lebih RM500,000 daripada penderma.

Program menampilkan persembahan Jamal dan Hattan itu berjaya menjual sebanyak 83 meja makan malam.

Muhammad Nasir bersyukur apabila sambutan orang ramai terhadap majlis makan malam amal mendapat sambutan memberangsangkan.

“Pada petang sebelum acara bermula masih ada orang mahu tempah meja untuk melihat persembahan mereka.

“Tapi, tidak boleh kerana sudah penuh. Kalau mahu boleh ambil ruangan galeri atas pentas. Akhirnya mereka setuju untuk beli tempat di galeri itu,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai majlis, Muhammad Nasir memberitahu, ia antara lain bertujuan sebagai platform untuk ahli dan orang ramai menderma demi menjaga kebajikan pelajar memerlukan.

“Makan malam ini juga bertujuan untuk menyebarkan kasih sayang kepada pelajar yang memerlukan bantuan terutama anak yatim dan orang miskin.

“Sehubungan itu, saya juga ingin menzahirkan rasa bangga berjaya capai sasaran oleh oleh ahli jawatankuasa (AJK) TMESA,” katanya.

Sementara itu, Hattan berkata, dia tiada masalah sekiranya pihak sekolah mahu mengundangnya, malah boleh membuat rundingan dalam soal harga jika mahu.

“Saya terbuka memenuhi undangan sekolah, tiada masalah. Tapi, saya hanya berkongsi pengalaman dan nasihat, saya bukan pandai sangat.

“Setiap pembabitan saya dalam mana-mana acara yang dijemput mesti ada kos, tetapi ada kelebihan yang saya bagi kepada setiap sekolah.

“Mungkin kadang-kadang saya berikan diskaun dalam beberapa peratus demi untuk merealisasikan perkara itu. Saya okay untuk pertimbangkan untuk sekolah dan masa depan pelajar.

“Tapi, mesti ada kos sebab saya juga perlukan perbelanjaan untuk kehidupan. Dengan saya boleh berunding, tidaklah hanya memenuhi undangan acara korporat sahaja,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here