Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan 108 individu yang berkaitan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) kerana disyaki melakukan kesalahan jenayah syariah membabitkan akidah, pungutan khairat tanpa kebenaran dan perkahwinan.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya mendapati wujud beberapa fakta mengenai amalan dan kepercayaan suspek yang bercanggah dengan fatwa yang dikuatkuasakan.
“Ia termasuklah amalan mempercayai beberapa perkara yang dikaitkan dengan pimpinan adalah sesuatu yang memberikan keberkatan kepada ahli dan membolehkan ahli masuk syurga.
“Siasatan menunjukkan perkahwinan mereka tidak dapat dibuktikan dengan keterangan dokumen yang sah dan perkahwinan antara anak dara dan teruna tanpa kebenaran Pendaftar Perkahwinan, Cerai dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor serta poligami yang dibuat tanpa kebenaran Mahkamah Syariah yang berbidang kuasa.
“Mereka mengamalkan Aurad Muhammadiah, percaya Abuya tidak mati dan berada di alam ghaib, mayat Abuya terapung kerana Allah angkat Abuya, Rasulullah SAW atau Abuya hadir dalam mailis-mailis tertentu anjuran kumpulan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mohd Shahzihan berkata situasi dan keadaan itu menyebabkan berlakunya kecelaruan dalam penentuan nasab, status perkahwinan serta dokumentasi perkahwinan ibu bapa kanak-kanak (mangsa).
Tambahnya, siri tangkapan tersebut dijangka akan berterusan dan telah dikenalpasti berdasarkan risikan, aduan dan maklumat yang diterima.
“Perkara ini akan memberi kesan terhadap kanak-kanak yang telah diselamatkan sebelum ini apabila mereka menginiak ke alam remaja dan dewasa kelak.
“Tidak mustahil keadaan ini berpotensi besar akan menjejaskan penentuan nasab dan memungkinkan berlakunya pernikahan yang fasid atau wati’ syubhah,” katanya.
Pada masa yang sama, Mohd Shahzihan berkata pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta agensi lain bagi mengenal pasti salasilah (familytree) sebahagian besar dari 435 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global.
IMedikel TV






