Home Luar Negara ITALI UMUM LARANGAN BURQA, NIQAB DI SEKOLAH

ITALI UMUM LARANGAN BURQA, NIQAB DI SEKOLAH

ROME: Itali akan mengharamkan burqa dan niqab di sekolah serta mengehadkan jumlah pelajar asing bagi setiap kelas, kata Perdana Menteri Giorgia Meloni pada Ahad.

Memetik laporan AFP menerusi harian Metro, Itali menjadi antara negara barisan hadapan dalam isu migrasi, manakala integrasi menjadi perkara utama kempen menjelang pilihan raya umum tahun depan.

“Satu langkah akan dibentangkan tidak lama lagi dalam mesyuarat Kabinet bagi menetapkan secara sah jumlah maksimum pelajar asing bagi setiap kelas,” kata Meloni ketika berucap pada perhimpunan sayap belia parti Brothers of Italy (FdI) yang dipimpinnya.

“Ia turut mewajibkan ibu bapa pelajar asing yang menghadapi kesukaran serius untuk berintegrasi dalam sistem persekolahan mempelajari bahasa Itali, serta mengharamkan burqa dan niqab di sekolah,” katanya.

Parti National Future (FN) menyeru supaya penggunaan burqa di sekolah diperketatkan pada Julai. 

FN yang tidak menyertai gabungan kerajaan, berada lebih kanan berbanding parti pimpinan Meloni dan muncul sebagai pencabar utama selepas sokongannya meningkat ketara dalam tinjauan sejak ditubuhkan pada Februari.

Tiada undang-undang di Itali yang secara jelas mengharamkan burqa, sama ada di sekolah atau tempat awam. Bagaimanapun, undang-undang 1975 melarang penggunaan topi keledar atau pakaian yang menyukarkan pengenalan diri tanpa alasan yang munasabah.

Pada 2008, mahkamah pentadbiran tertinggi Itali menjelaskan bahawa tudung muka penuh boleh dipakai atas alasan agama atau budaya, dengan syarat wajah didedahkan apabila pengesahan identiti diperlukan.

Parti League yang anti-imigresen dan sebahagian daripada gabungan pimpinan Meloni mengemukakan rang undang-undang di Senat awal tahun ini untuk mengharamkan topi keledar atau pakaian sedemikian kecuali dalam keadaan tertentu, seperti ketika acara sukan atau di tempat ibadat.

Had jumlah pelajar asing bagi setiap kelas sebenarnya sudah wujud dalam undang-undang Itali, dan Meloni tidak memperincikan bagaimana peraturan itu akan diubah.

Pelajar asing membentuk hampir 12 peratus daripada jumlah pelajar yang mendaftar di sekolah Itali, menurut Institut Statistik Kebangsaan (ISTAT).

Sejak 2010, jumlah pelajar asing dihadkan kepada 30 peratus daripada jumlah pelajar dalam sesuatu kelas dan sekolah.

Had itu boleh dinaikkan bagi kes membabitkan pelajar asing yang mempunyai kemahiran bahasa mencukupi, seperti mereka yang dilahirkan di Itali, atau dikurangkan apabila penguasaan bahasa Itali pelajar asing lemah. – FP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here