Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Hospital Pulau Pinang (HPP) sekali lagi mencatat kejayaan apabila berjaya melaksanakan prosedur pendermaan sepasang buah pinggang daripada seorang wanita yang meninggal dunia akibat saluran darah utama di otak pecah, sekali gus menjadi prosedur ketiga seumpamanya yang dilaksanakan hospital itu sepanjang tahun ini.
Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dalam satu kenyataan menerusi Facebook rasmi memaklumkan, kejayaan itu memberi harapan baharu kepada pesakit yang memerlukan pemindahan organ, selain membuktikan komitmen berterusan petugas kesihatan dalam memperkukuh perkhidmatan transplan negara.
Menurut kenyataan itu, pihak hospital turut merakamkan ucapan takziah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada keluarga wanita berkenaan yang dia juga merupakan pencari nafkah utama keluarganya.
“Di sebalik kehilangan yang amat berat, niat murni arwah yang pernah menyuarakan hasrat untuk menderma organ dan disokong sepenuhnya oleh ibunya kini menjadi satu keputusan mulia yang telah dibuat semasa hayatnya.
“Keputusan tersebut kini menjadi hadiah kehidupan yang tidak ternilai buat insan lain yang amat memerlukan,” menurut kenyataan itu.
JKNPP berkata, HPP berjaya melaksanakan prosedur pengambilan kedua-dua buah pinggang daripada penderma hasil kerjasama erat pelbagai disiplin termasuk Jabatan Neurosurgeri, Jabatan Anestesiologi, Unit Dewan Bedah, Jabatan Dietetik dan Sajian, Jabatan Patologi, Jabatan Radiologi, Jabatan Forensik, Unit Angkut HPP, Unit Perolehan Organ Hospital (UPOH) HPP serta Pusat Transplan Negara.
Menurut kenyataan itu lagi, kejayaan berkenaan mencerminkan komitmen tinggi semua pihak yang terbabit dalam memastikan proses pendermaan organ dapat dilaksanakan dengan lancar demi memberi peluang kehidupan kepada pesakit yang menunggu pemindahan organ.
Sebagai tanda penghargaan kepada penderma organ dan keluarga mereka, pancaran cahaya hijau turut dinyalakan sebagai simbol penghormatan atas keikhlasan serta pengorbanan yang tidak ternilai.
“Setiap pendermaan adalah satu harapan. Setiap keikhlasan memberi peluang untuk satu kehidupan diteruskan,” menurut kenyataan itu.
IMedikel TV






