Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Karnival STEM Peringkat Negeri Kelantan menjadi platform penting dalam memupuk minat generasi muda terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sekali gus melahirkan generasi berilmu serta berinovasi.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, generasi muda perlu dipersiapkan bukan sekadar untuk mengikuti perkembangan teknologi, malah mempunyai ilmu dan keberanian untuk mencipta perubahan.
Beliau berkata, perkembangan dunia yang semakin dipacu teknologi menuntut anak-anak Kelantan diberikan pendedahan kepada STEM menerusi pendekatan pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan.

“Sifat ingin tahu dalam kalangan pelajar perlu terus diraikan kerana persoalan kecil mengenai bagaimana sesuatu peralatan berfungsi boleh berkembang menjadi minat untuk mencuba, menguji dan menghasilkan sesuatu yang baharu.
“Di sinilah bermulanya pembentukan pemikir, pencipta dan inovator masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Karnival STEM Peringkat Negeri Kelantan sempena Program Pembangunan Sains dan Teknologi Negeri Kelantan Tahun 2026 di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, di sini.
Karnival yang berlangsung selama dua hari bermula 19 hingga 20 September itu menjadi ruang untuk mendekatkan generasi muda dengan dunia STEM melalui pengalaman pembelajaran yang lebih menarik dan praktikal.
Dalam pada itu, Wan Roslan berkata, kemajuan teknologi perlu bergerak seiring dengan penerapan nilai, khususnya dalam membentuk generasi yang bukan sahaja menguasai ilmu dan teknologi, tetapi turut mempunyai asas agama serta integriti yang kukuh.
“Kecerdasan tanpa adab boleh tersasar, manakala teknologi tanpa panduan iman boleh hilang arah.
“Sebab itu kita mahu melahirkan generasi yang menguasai ilmu dan teknologi, tetapi dalam masa yang sama kukuh aqidah, baik akhlak dan tinggi integritinya,” katanya.
Tambah beliau, pencapaian pelajar daripada sekolah Yayasan Islam Kelantan dalam Malaysia Techlympics 2026 Peringkat Zon Pantai Timur 2.0 turut membuktikan keupayaan anak-anak negeri dalam bidang teknologi dan inovasi.
“Antara kejayaan yang dicapai adalah dalam bidang AI Vibe Coding Drone, reka bentuk 3D, robot tempur dan FC-1 AI,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan bersama Yayasan Islam Kelantan, Yayasan Kelantan Darulnaim, Kelantan ICT Gateway Sdn. Bhd. serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan karnival berkenaan.
“Saya berharap penganjuran program seumpama itu dapat melahirkan lebih ramai anak Kelantan yang berani berfikir, tekun mencuba dan mampu menghasilkan teknologi yang memberi manfaat kepada masyarakat serta menjadi amal yang mendekatkan diri kepada Allah SWT,” katanya.
IMedikel TV






