ITALI: Itali menutup aksi pertama Liga Negara-Negara dengan kemenangan bergaya 3-1 ke atas Turkiye di Stadium Dall’Ara, Bologna, awal pagi tadi sekali gus menghidupkan peluang mara ke suku akhir.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Gianluca Scamacca meletakkan Azzurri di depan selepas 26 minit, namun Aral Simsir menyamakan kedudukan sejurus selepas sejam permainan.
Itali kembali mendahului menerusi jaringan Riccardo Calafiori sebelum Pio Esposito melengkapkan kemenangan berkenaan.
Itali kini di tangga kedua Kumpulan A1, tiga mata di belakang pendahulu Perancis dan satu mata mengatasi Belgium. Turkiye pula menghuni tangga tercorot kumpulan dan masih memburu mata pertama.
“Walaupun kami melakukan banyak perubahan, semua pemain berdepan keletihan dan kami sedikit bergelut,” kata jurulatih Roberto Mancini yang menurunkan pemain yang baru membuat penampilan sulung, Alessandro Romano dan Issa Doumbia di bahagian tengah, selain Antonio Vergara yang belum pernah beraksi di peringkat antarabangsa di sayap.
“Namun, kami berjaya menjaringkan gol dan kemudian meledak satu lagi gol sejurus mereka menyamakan kedudukan.
“Kami perlu terus bermain. Ketika ini kami berada di tempat kedua dan mungkin perlu berjuang untuk mengekalkan kedudukan itu di Belgium.”
Itali kini dalam proses membina semula pasukan di bawah kendalian Mancini yang kembali untuk tempoh kedua sebagai jurulatih skuad negara itu, selepas mereka gagal layak ke tiga edisi Piala Dunia terakhir.
Itali menewaskan Turkiye 4-1 dalam pertemuan pertama pada perlawanan kedua sebelum seri 1-1 dengan Perancis di Paris.
Turkiye turun dengan kekuatan yang terhad apabila Vincenzo Montella masih kehilangan beberapa pemain utama termasuk Arda Guler yang digantung perlawanan, selain pasangan Kenan Yildiz dan Hakan Calhanoglu yang mengalami kecederaan.
Selepas permulaan yang agak hambar, Turkiye tampil lebih meyakinkan pada awal permainan apabila penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma terpaksa bertindak pantas untuk menafikan percubaan berbahaya Ozan Kabak dan Salih Ozcan dalam tempoh singkat.
Namun pada minit ke-26, tuan rumah membuka tirai jaringan.
Giovanni Di Lorenzo melakukan hantaran silang dari sebelah kanan yang terkena sedikit lencongan sebelum Scamacca melepaskan rembatan menewaskan Ugurcan Cakir di gawang Turkiye.
Ia gol kedua penyerang Atalanta itu di pentas antarabangsa selepas menjaringkan gol menentang England tiga tahun lalu.
“Saya sangat gembira. Bukan kerana gol itu semata-mata, tetapi lebih kepada keputusan perlawanan kerana kemenangan sangat penting buat kami.
“Kami tahu ia bukan mudah kerana Turkiye adalah pasukan yang agresif, tetapi kami mempamerkan aksi yang cemerlang,” katanya selepas perlawanan. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






