KUALA LUMPUR: “Saya dah fikir benda ini lama dan kalau dia dakwa tak tahu kenapa dia diceraikan itu, tak mungkin,” kata penyanyi Nubhan mengulas kenyataan isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek.
Memetik laporan menerusi Harian Metro, Nubhan atau Ahmad Nubhan Ahamad, 39, berkata, dia sudah berbincang dengan isterinya banyak kali beberapa perkara berkenaan mereka.
Malah dia juga berbincang dengan bapa mentuanya berkenaan perkara itu.
“Saya beritahu permasalahan ini dan minta nasihat. Saya juga pernah berjumpa dengan mak ciknya dan bukan sekali dua berjumpa dengan mereka bercerita masalah yang kami hadapi.
“Dan saya juga pernah bawa dia (isteri) pergi jumpa pakar rumah tangga. Bukan saya tak pernah buat perkara ini. Tapi bila dia kata dia tak tahu kenapa dia diceraikan, saya rasa tak wajar.
“Saya tak nak cakap apa-apa, tak nak cakap lebih-lebih, takut benda-benda yang tak baik keluar. Apalagi saya dah pernah tinggal dengan dia selama 10 tahun. Biarlah saya simpan rapat,” katanya ditemui pada Sidang Media Pengumuman Peserta Gegar Vaganza 12, semalam.
Ditanya harapan untuk kembali berbaik, Nubhan berkata, dia cuba bertahan dan mereka juga pernah bertemu orang yang arif untuk memperbaiki hubungan sebelum ini.
“Jadi saya tak boleh komen dan cakap apa yang terbaik. Saya minta maaf. 10 tahun itu bukan sekejap kan? Dia fikir anak, saya fikir anak. itu sebab kenapa kami masih bertahan sehingga 10 tahun. Puncanya kerana anak.
“Segala apa yang telah kami lalui dalam rumah tangga ini saya rasa biarlah kami sahaja yang tahu. Saya juga bersyukur dengan apa yang saya telah lalui.
“Selama saya menjadi suami. saya tak pernah culas dari tanggungjawab mahupun kasih sayang. Tapi mungkin takdir dah tertulis sampai sini saja hubungan kami,” katanya.
Menurutnya, hubungan dengan isteri masih baik kerana anak. Malah dia masih berjumpa anak.
“Sekarang ini dia pun jaga anak saya dengan baik Alhamdulillah dan tidak ada perkara yang buruk,” katanya.
Terdahulu, Nubhan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 16 Oktober lalu bagi prosiding pengesahan lafaz cerai terhadap isterinya.
Hakim kemudian menetapkan tarikh 2 Disember depan untuk perbicaraan pertama bagi kes pengesahan lafaz cerai mereka.
Dalam perkembangan berkaitan Nubhan menjadi antara penyanyi yang terpilih menyertai GV12. Turut sama bertanding ialah Datuk Elaine Kang, Rahmat Ekamatra, Korie, Krisya, Mell Sakura, Mark Adam, SHY8 serta duo pop Freshies (Ejie dan Shima), Shae, Ruri Repvblik, trio Mendua (Pungky, Sasha & Diana) dan Iskandar Ismail (Singapura). – Hmetro Online –
IMedikel TV






