KUALA LUMPUR: Kapten Selangor, Faisal Halim mengakui sukar untuk menerima kekalahan 0-2 kepada Persib Bandung dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Gelora Bandung Lautan Api, semalam.
Memetik laporan menerusi Berita Harian Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey menyifatkan kedua-dua pasukan mempamerkan persembahan yang baik dalam perlawanan itu, namun apa membezakan adalah Persib Bandung berjaya menjaringkan gol untuk meraih tiga mata penting.
Malah, pemain berusia 27 tahun itu tidak dapat menyembunyikan kekecewaan apabila pasukannya bolos dengan dua jaringan yang dianggap mudah.
“Kami bermain di tempat lawan, Persib Bandung pasukan yang bagus. Kami bolos dua gol mudah dari serangan balas dan penalti. Kami bekerja keras sepanjang latihan untuk menghadapi perlawanan ini.
“Kami tidak boleh tewas seperti ini, kami tidak boleh terima kekalahan ini. Namun, untuk masa depan, kami perlu belajar sesuatu,” katanya dalam temu bual selepas perlawanan.
Ia kekalahan ketiga berturut-turut dialami Selangor dalam saingan Kumpulan G selepas tewas 2-4 kepada Bangkok United dan Lions City Sailors sebelum ini, sekali gus meletakkan mereka dalam situasi lebih sukar untuk ke pusingan kalah mati.
Keputusan itu turut menyaksikan Selangor kekal di kedudukan tercorot kumpulan tanpa sebarang mata manakala Persib Bandung berada di tangga teratas dengan mengumpul tujuh mata.
Berbaki tiga perlawanan bagi aksi peringkat kumpulan, Selangor seterusnya akan melayan kunjungan Persib Bandung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling jaya (MPBJ), 6 November ini.
Sementara itu, pengendali Persib Bandung, Bojan Hodak menganggap pasukannya layak untuk memenangi perlawanan itu berdasarkan persembahan terbaik yang dipamerkan mereka.
“Kami layak menang. Saya fikir kami bermain lebih baik hari ini. Kami bermain sangat baik dalam 30 minit awal. Setelah kami mencetak gol, mungkin lawan cuba untuk mengejar.
“Kami kini mengumpul tujuh mata, namun ia belum menentukan nasib sebenar kami. Peluang masih terbuka untuk semua pasukan dan saya berharap kami dapat teruskan rentak ini,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






