PELAKON Hun Haqeem, 26, kini menjadi ‘pencinta’ permainan Mobile Legend dan aktif sebagai ‘kaki game’ selepas membintangi filem Game Of Life untuk watak Soloz.
Hun atau nama sebenarnya Haqeem Hermy berkata, dulu dia bukanlah seorang ‘kaki game’ seperti sekarang kerana lebih gemar mengisi masa dengan aktiviti membaca buku.
“Saya tak main ‘game’ dulu dan suka baca buku. Tapi, sekarang dah berubah dengan hobi main Mobile Legend dengan beberapa ahli kumpulan lain. Memang saya dah seronok main sebab ia juga sebagai interaksi dengan kawan-kawan.
“Sebelum itu, saya berlatih main Mobile Legend kira-kira enam bulan sebelum masuk ke set penggambaran filem Game Of Life untuk membiasakan diri dan bentuk minat sebagai ‘kaki game’.
“Apatah lagi, saya pula diberi tanggungjawab sebagai watak Soloz yang memang sangat terkenal dan satu nama besar pada kalangan ‘games’ hingga dipanggil dengan gelaran maharaja,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya juga mengenai pertemuannya dengan Soloz, pelakon drama Kampung People sebagai Jekfer ini berkata, dia sudah berjumpa dengan lelaki itu yang disifatkan individu sangat berbudi bahasa, berbakat dan merendah diri.
“Sebenarnya, saya pernah ada kebimbangan pada mulanya untuk melakonkan watak Soloz ini kerana dia individu masih hidup yang kisah diri serta kejayaannya diangkat dalam karya filem.
“Namun, apabila sudah jumpa dan saling mengenali dengannya, saya jadi yakin boleh melakonkan watak Soloz itu sebaik mungkin. Sebab, dia memang banyak bantu saya dan kami pun dah jadi kawan sekarang.
“Dia (Soloz) turut beri ruang kepada saya untuk menghubunginya jika memerlukan apa saja input mengenai kehidupannya sejak kecil sehingga sekarang sudah berumah tangga,” katanya.
Menurut Hun, dia juga kagum dengan Soloz kerana mampu mengimbangi masa dengan baik antara aktif main ‘game’, jaga solat dan tanggungjawab sebagai anak serta suami dalam keluarganya.
“Saya dapati Soloz selalu ingatkan pengikutnya agar aktif main ‘games’ boleh, tetapi jangan sesekali tinggalkan solat. Itu yang dilakukannya dengan sangat menjaga ibadah solat.
“Harapan saya untuk filem Game Of Life ini agar ia mendapat sambutan baik pada tayangan di pawagam nanti. Saya juga bersikap terbuka dengan apa saja pandangan dan komen daripada penonton,” katanya.
Filem Game Of Life arahan Syafiq Yusof itu turut membariskan pelakon berpengalaman lain seperti Jaa Suziran, Ikmal Amry, Syafie Naswip, Imran Aqil, Nia Atasha dan ramai lagi.
Hun berkata, dia juga berpuas hati sepanjang bekerjasama dengan Syafiq dalam filem itu yang banyak membantu dan senang dibawa berbincang walaupun dia sudah tahu apa diinginkannya selaku pengarah. – HMetro Online –
IMedikel TV






