Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Hospital Kuala Lumpur (HKL) menafikan dakwaan sebuah video tular di Facebook yang memaparkan tandas awam kotor dan tidak diselenggara dengan baik adalah milik fasiliti hospital berkenaan.
Pengarah HKL, Datuk Dr. Harikrishna KR Nair berkata, hasil siasatan mendapati tandas yang dipaparkan dalam video bertarikh 31 Julai itu bukan berada di bawah seliaan HKL.
“Perkara itu dikenal pasti berdasarkan reka bentuk tandas yang jelas berbeza daripada kemudahan tandas milik HKL.
“Tindakan tidak bertanggungjawab ini boleh menjejaskan imej warga kerja HKL yang sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, pihak hospital sentiasa memandang serius aspek kebersihan, keselamatan dan keselesaan pesakit, pelawat serta kakitangan.
“Kerja-kerja penyelenggaraan berkala turut dilaksanakan mengikut jadual bagi memastikan semua fasiliti berada dalam keadaan bersih dan selesa seperti yang ditetapkan,”katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan atau berkongsi maklumat palsu berhubung isu berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
HKL turut mengalu-alukan maklum balas daripada orang ramai dan sebarang aduan rasmi atau pertanyaan berkaitan fasiliti hospital boleh disalurkan terus melalui e-mel pro.hkl@moh.gov.my atau talian 03-2615 5555.
IMedikel TV






