Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Siapa sangka seorang pekebun mampu menanam anggur di negeri Che Siti Wan Kembang dan mampu hidup subur seperti di luar negara.
Pengusaha tanaman anggur, Wan Yusoff Wan Abdul Rahman, 40, berkata, perkara itu sudah dibuktikan apabila kebun anggur miliknya di Kampung Belukar, Tumpat, mampu mengeluarkan hasil sebanyak 30kilogram setiap satu pokok.

“Saya mula menanam anggur sejak lima tahun lalu dan telah menanam lebih 60 jenis anggur dan hasilnya, kira-kira 30 jenis yang sesuai untuk iklim tropika seperti Malaysia.
“Malah anggur yang ditanam juga mempunyai rasa yang manis dan rata-rata yang datang buahnya juga besar setanding dengan anggur import.
“Jadi saya rasa tidak mustahil untuk kita majukan dan komersialkan tanaman anggur di sini,”katanya.

Tambahnya, disebabkan tanaman anggur itu membuahkan hasil yang agak lumayan, dia berhasrat untuk membuka sebuah pusat tanaman anggur berkonsepkan agropelancongan di sekitar rumahnya.
Bukan itu sahaja, dia juga turut menyediakan khidmat nasihat berkaitan tanaman anggur secara percuma kepada mereka yang berminat selain menjual anak pokok pelbagai jenis anggur yang disemai sendiri.
“Ramai pengunjung dari dalam serta luar negeri datang ke kebunnya untuk melihat sendiri tanaman anggur selain belajar cara menanam dan penjagaanya,”katanya.
Menurut Wan Yusoff antara varieti anggur manis dan sedap yang sesuai di tanam di antaranya Dubovsky Pink, Julian, Baikonur, Beauty Karasotkha, Gozv, Tanaki dan Shine Muscat yang berasal dari Rusia, Ukraine serta Jepun.
Katanya setakat ini dia menanam lebih 100 pokok anggur.

IMedikel TV






