Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Harumanis yang suatu ketika dahulu cukup sinonim dengan Perlis, kini mula mencipta ‘tapak baharu’ di Kelantan apabila ladang di Kampung Rekang, Melawi diserbu pengunjung dari pelbagai negeri sehingga jualannya mencecah satu tan hanya dalam tempoh sehari.
Seawal jam 7.30 pagi, lebih 1,000 pengunjung mula memenuhi kawasan ladang bersama keluarga masing-masing untuk merasai sendiri pengalaman memetik Harumanis terus dari pokok.

Ketua pengusaha tanaman Harumanis, Mohd Rudzuan Jusoh, 53, berkata dia tidak menyangka sambutan diterima begitu luar biasa apabila pengunjung datang dari pelbagai negeri termasuk Johor, Terengganu, Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
“Semalam, saya membuat jualan besar-besaran di ladang milik saya dan pengunjung dibenarkan memetik sendiri buah yang menggamit hati mereka sebelum ditimbang untuk dibawa pulang.
“Sebelum masuk ke ladang, saya sediakan buah yang sudah dipotong untuk pengunjung rasa terlebih dahulu. Alhamdulillah, ada pengunjung dari Kedah beritahu rasa Harumanis di sini sangat manis dan lemak.
“Buah yang dibeli pula belum boleh terus dimakan kerana perlu diperam antara lima hingga tujuh hari di dalam kotak kertas kedap udara bersama kabaid bagi mendapatkan aroma dan rasa terbaik,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Menurutnya, tanaman Harumanis itu kini sudah melalui tiga peringkat pengeluaran iaitu 500 biji pada peringkat pertama, diikuti 8,000 biji dan kini mencecah 10,000 biji pada peringkat ketiga.
Katanya, tanaman yang diusahakan sejak penghujung 2019 di atas tanah seluas lebih satu ekar itu mempunyai kira-kira 100 pokok Harumanis.
Malah, usaha tersebut turut menarik minat hampir 40 peserta lain terdiri daripada pesara dan penduduk kampung untuk mengusahakan tanaman sama secara kecil-kecilan.

“Biasanya harga Harumanis dijual mengikut gred, namun sempena jualan semalam saya selaraskan semua gred termasuk premium, A dan B pada harga RM100 bagi lima kilogram,” katanya.
Tambah Mohd Rudzuan, walaupun Harumanis cukup terkenal di Perlis, namun buah premium itu semakin mendapat tempat dalam kalangan penggemar buah di Kelantan khususnya di Bachok.
“Penjagaan buah ini tidak terlalu sukar, kita hanya perlu membungkus buah dengan kertas khas untuk melindunginya daripada serangan lalat buah dan serangga perosak,” katanya.
Dia turut meluahkan rasa syukur apabila kajian yang dilakukan berasaskan kaedah orang lama sejak lima tahun lalu akhirnya berjaya menghasilkan buah berkualiti tinggi serta mendapat sambutan memberangsangkan daripada orang ramai.
IMedikel TV






