Home Buletin Semasa HARI CUCI MALAYSIA: KELANTAN KUTIP 1.2 TAN SAMPAH, LEPASI SASARAN

HARI CUCI MALAYSIA: KELANTAN KUTIP 1.2 TAN SAMPAH, LEPASI SASARAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR MAS: Sebanyak 1,200 kilogram (kg) sampah berjaya dikutip menerusi program Hari Cuci Malaysia Peringkat Negeri Kelantan 2026 yang dilaksanakan serentak di empat daerah, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, jumlah berkenaan melepasi sasaran 1,000kg yang ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi setiap negeri.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 400kg sampah dikutip di Pasir Mas dan jumlah sama di Kota Bharu, manakala Pasir Putih merekodkan 300kg dan Gua Musang sebanyak 100kg,’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui kru IMedikel TV selepas Perasmian Program Hari Cuci Malaysia Peringkat Negeri Kelantan Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) di Bandar Tasek Raja, di sini, hari ini.

Menurutnya, program yang memasuki tahun ketiga sejak diperkenalkan pada 2024 itu bukan sekadar aktiviti pembersihan, sebaliknya menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan.

Katanya, program tahun ini turut membabitkan hampir 1,000 peserta di Pasir Mas, selain penyertaan agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, serta pelajar sekolah rendah dan menengah.

“Hari Cuci Malaysia ini dijalankan setahun sekali kita dan kita jadikan sebagai simbolik untuk sentiasa meningkatkan kesedaran. Insya-Allah dengan adanya simbolik hari ini, kita minta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) meneruskan kerja pembersihan awam di kawasan masing-masing dan menganjurkan program gotong-royong melibatkan semua peringkat komuniti,” katanya.

Hilmi berkata, kerajaan negeri turut memperkukuh agenda Kelantanku Bersih selaras dengan Dasar Kebersihan Negara bagi membentuk masyarakat yang mencintai kebersihan, keindahan dan keceriaan.

Beliau berkata, budaya gotong-royong perlu dijadikan amalan dalam komuniti supaya tanggungjawab menjaga kebersihan tidak hanya diletakkan kepada pihak berkuasa tempatan.

Dalam perkembangan sama, Hilmi berkata Kelantan turut mempergiat usaha mengurangkan penggunaan plastik sekali guna sebagai persediaan ke arah sasaran penghentian penggunaan plastik sekali guna pada 2030.

Katanya, semua PBT telah diminta menggalakkan peniaga mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, dengan kempen turut digerakkan bersama pasar raya besar dan kedai berangkai.

“Bagi kita, dua tahun lagi ini kita gunakan untuk sama-sama menjayakan usaha mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.

“Kita sudah mendapat kerjasama penuh daripada pasar raya besar dan kedai-kedai berangkai untuk mula mengurangkan penggunaan plastik sekali guna,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui usaha berkenaan berdepan cabaran terutama kekurangan alternatif yang sesuai dan kos bahan biodegradasi yang masih tinggi.

Hilmi berkata, plastik dianggarkan menyumbang kira-kira 70 peratus daripada sampah harian, manakala 30 peratus lagi terdiri daripada lebihan makanan.

Sementara itu, beliau berkata jumlah kutipan sampah menerusi Hari Cuci Malaysia menunjukkan peningkatan sejak program itu diperkenalkan pada 2024.

Katanya, tahun lalu sebanyak kira-kira 6,000 tan sampah dikutip di seluruh negara, manakala sasaran tahun ini ditingkatkan dengan penyertaan 200,000 peserta di seluruh Malaysia.

Program berkenaan turut menyasarkan jumlah penyertaan dan kutipan sampah yang mampu melakar rekod dalam Malaysia Book of Records.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here