Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Seramai 84 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya dalam Ops Pintu di Pangsapuri Putra Harmoni, yang lebih dikenali sebagai “Flat Hijau”.
Operasi berasaskan risikan dan maklumat awam itu dilaksanakan dalam dua fasa pada 24 dan 25 September lalu, dengan menyasarkan premis perniagaan serta penghuni yang disyaki terdiri daripada PATI.
JIM dalam kenyataan menerusi laman rasmi memaklumkan operasi bermula kira-kira jam 11.30 pagi pada Khamis lalu dengan pemeriksaan dan tindakan terhadap premis perniagaan di kawasan pangsapuri berkenaan.
“Operasi kemudian diteruskan pada awal pagi Jumaat kira-kira jam 1.30 pagi, dengan sasaran utama penghuni yang disyaki PATI.
“Seramai 60 pegawai JIM daripada pelbagai pangkat terlibat dalam operasi itu, dengan keseluruhan 321 individu diperiksa,” katanya.
JIM berkata daripada jumlah berkenaan, 84 PATI ditahan terdiri daripada 73 lelaki, sembilan perempuan dan dua kanak-kanak untuk tindakan serta siasatan lanjut.
Menurut JIM, operasi berkenaan digerakkan susulan aduan awam dan maklumat yang diterima melalui media sosial sebelum diperkukuh menerusi risikan jabatan.
“Hasil risikan mendapati terdapat warga asing menetap di kawasan berkenaan, selain sebahagiannya dipercayai menjalankan aktiviti perniagaan.
“Operasi itu turut menjadi kesinambungan tindakan penguatkuasaan JIM di kawasan penempatan yang dikenal pasti mempunyai kepadatan warga asing yang tinggi, susulan operasi yang dilaksanakan pada 9 September lalu,” katanya.
JIM memandang serius isu penempatan PATI secara berkelompok serta aktiviti yang dijalankan tanpa mematuhi peruntukan undang-undang imigresen.
Sehubungan itu, pemilik rumah dan premis diingatkan supaya bertanggungjawab terhadap penyewa serta memastikan status imigresen penghuni atau penyewa adalah sah dan mematuhi syarat ditetapkan.
Orang ramai turut digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PATI atau aktiviti yang disyaki melanggar undang-undang kepada JIM.
JIM menegaskan maklumat yang diterima akan dinilai, disahkan dan ditindaklanjuti berdasarkan keperluan serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
JIM Putrajaya pada masa sama memaklumkan akan terus mempergiat operasi secara berterusan, bersasar dan berasaskan risikan bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran PATI di lokasi yang dikenal pasti.
IMedikel TV






