Home Buletin Semasa 156 PATI DITAHAN DALAM 15 OPERASI IMIGRESEN DI SABAH

156 PATI DITAHAN DALAM 15 OPERASI IMIGRESEN DI SABAH

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA KINABALU: Seramai 156 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam kira-kira 15 operasi penguatkuasaan di lima daerah di negeri itu, dalam tempoh empat hari.

Operasi yang dijalankan dari 22 hingga semalam  itu membabitkan beberapa lokasi strategik di Kota Kinabalu, Tawau, Semporna, Kudat dan Ranau.

Menurut kenyataan JIM menerusi laman rasmi, sebanyak 322 individu diperiksa sepanjang operasi berkenaan.

“Daripada jumlah itu, 156 PATI ditahan terdiri daripada 140 warganegara Filipina, 11 warganegara Indonesia dan lima warganegara Pakistan.

“Bagi warganegara Filipina, tahanan membabitkan 40 lelaki dewasa, 40 perempuan dewasa, 38 kanak-kanak lelaki dan 22 kanak-kanak perempuan,” kata JIM.

Sementara itu, JIM berkata warganegara Indonesia terdiri daripada empat lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.

“Lima lagi tahanan merupakan lelaki dewasa warganegara Pakistan,” menurut JIM

JIM Sabah memaklumkan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat secara berterusan di lokasi-lokasi strategik di seluruh daerah bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran PATI.

Orang ramai turut diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan PATI boleh disalurkan kepada JIM Sabah menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO).

JIM Sabah turut menegaskan komitmen untuk meneruskan operasi penguatkuasaan secara berterusan dalam usaha mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen dan memastikan undang-undang negara dipatuhi.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here