Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA PILAH: Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) memberi kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan berhubung kematian seorang murid yang ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah asrama sekolah di Kuala Pilah, malam tadi.
Dalam kenyataan media hari ini, JPNS menzahirkan rasa dukacita atas pemergian murid berkenaan selain menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek bersama Pengarah JPNS turut hadir ke hospital bagi bertemu ahli keluarga Allahyarham dan menyampaikan ucapan takziah serta simpati atas kehilangan itu.
JPNS memaklumkan keutamaan ketika ini adalah kebajikan keluarga Allahyarham, selain khidmat kaunseling disediakan kepada murid yang terkesan dengan kejadian berkenaan.
Pada masa sama, JPNS turut menjalankan semakan terhadap aspek pengurusan, pengawasan dan keselamatan murid di asrama sekolah berkenaan.
Menurut JPNS, sekiranya hasil siasatan mendapati wujud sebarang salah laku atau pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya akan diambil dan tiada mana-mana pihak akan dilindungi.
JPNS turut meminta semua pihak menghormati keluarga Allahyarham serta mengelakkan sebarang spekulasi atau penyebaran maklumat yang belum disahkan sementara siasatan masih dijalankan.
Terdahulu media melaporkan, seorang pelajar Tingkatan Dua di sebuah sekolah di Kuala Pilah, Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, meninggal dunia malam tadi selepas ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sekolah itu, dipercayai akibat dibuli.
IMedikel TV






