Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA PILAH:Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti secara menyeluruh aspek keselamatan dan pematuhan tatacara di sebuah sekolah di Kuala Pilah, susulan kematian seorang murid Tingkatan Dua.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, beliau turut mengarahkan Jemaah Nazir menjalankan audit dengan segera bagi mengenal pasti sebarang ketidakpatuhan berkaitan pengurusan keselamatan di sekolah berkenaan.

“Siasatan berhubung kejadian sedang dijalankan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan saya dimaklumkan seorang pelajar telah ditahan bagi membantu siasatan.
“KPM dan pihak sekolah akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan telus,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir ke sekolah berkenaan pagi ini bagi bertemu warga sekolah, pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta PDRM bagi mendapatkan penjelasan berhubung kejadian dan tindakan yang telah diambil.
Fadhlina turut menegaskan tiada pihak akan dilindungi sekiranya didapati berlaku salah laku atau pelanggaran undang-undang.
Menurutnya, tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan dan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Sementara itu, beliau memaklumkan KPM menyediakan perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial kepada keluarga Allahyarham serta warga sekolah yang terkesan akibat kejadian tersebut.
Fadhlina turut merakamkan rasa dukacita mendalam atas pemergian murid berkenaan dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
“Keutamaan ketika ini adalah keluarga Allahyarham, selain memastikan kebajikan warga sekolah terus terpelihara sepanjang proses siasatan,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, seorang pelajar Tingkatan Dua di sebuah sekolah di Kuala Pilah, Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, meninggal dunia malam tadi selepas ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sekolah itu, dipercayai akibat dibuli.
IMedikel TV






