Home Luar Negara HARGA MINYAK, PETROL DIJANGKA KEKAL TINGGI – TRUMP

HARGA MINYAK, PETROL DIJANGKA KEKAL TINGGI – TRUMP

133
0

MIAMI: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata harga minyak dan petrol dijangka kekal tinggi sehingga pilihan raya pertengahan penggal November ini, susulan kesan perang terhadap Iran yang bermula enam minggu lalu.

Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, beliau berkata harga bahan api mungkin kekal pada paras semasa atau meningkat sedikit menjelang musim luruh.

“Harga mungkin sama atau sedikit lebih tinggi,” katanya dalam wawancara bersama Fox News.

Data GasBuddy menunjukkan harga purata petrol biasa di AS melebihi AS$4 segelen bagi April, berbanding sekitar bawah AS$3 segelen pada Februari lalu.

Kenyataan itu berbeza dengan pendirian Trump sebelum ini yang menyifatkan lonjakan harga sebagai sementara, walaupun pegawai kanan pentadbirannya mengakui kesan ekonomi akibat perang.

Terdahulu, Trump mengumumkan Tentera Laut AS akan menyekat Selat Hormuz serta menahan mana-mana kapal yang membayar tol kepada Iran, selepas rundingan damai AS-Iran di Pakistan gagal mencapai persetujuan.

Bagaimanapun, Pentadbiran Pusat AS (CENTCOM) kemudian menjelaskan sekatan itu hanya membabitkan kapal yang keluar masuk pelabuhan Iran, manakala kapal ke pelabuhan bukan Iran tidak akan dihalang.

Langkah itu dijangka menambah ketidaktentuan terhadap penyelesaian konflik yang kini berada di bawah gencatan senjata rapuh selama dua minggu, selain menyumbang kepada kenaikan harga minyak global hampir 50 peratus.

Speaker Parlimen Iran, Mohammad Baqer Qalibaf, berkata sekatan itu hanya akan menyebabkan harga petrol di AS terus meningkat.

“Nikmati harga semasa. Dengan ‘sekatan’ ini, anda akan merindui harga AS$4 hingga AS$5 segelen,” katanya.

Perang bermula pada 28 Februari apabila AS bersama Israel melancarkan kempen pengeboman terhadap Iran sebelum konflik merebak ke negara lain.

Konflik itu menggugat pasaran kewangan global dan mengorbankan ribuan orang awam, terutama di Iran dan Lubnan.

Sokongan politik terhadap Trump turut merosot apabila tinjauan menunjukkan kebanyakan rakyat AS tidak menyokong perang berkenaan, selain terkesan dengan kenaikan harga petrol.

Penilaian kelulusan Trump kini berada pada tahap terendah dalam penggal keduanya, sekali gus mencetuskan kebimbangan Parti Republikan akan kehilangan kawalan Kongres dalam pilihan raya akan datang.

Senator Demokrat, Mark Warner mempersoalkan strategi sekatan yang dicadangkan Trump.

“Saya tidak faham bagaimana sekatan selat ini boleh memaksa Iran membukanya semula,” katanya dalam wawancara bersama CNN.

Dalam wawancara berasingan, beliau berkata Iran masih berupaya mengawal laluan itu termasuk menggunakan bot laju untuk melombong atau menyerang kapal tangki.

Sementara itu, Senator Republikan, Ron Johnson berkata usaha mencapai matlamat AS di Iran dijangka mengambil masa panjang.

“Ia akan menjadi usaha jangka panjang. Saya tidak pernah fikir ini mudah,” katanya.-Reuters, BH Online-

IMedikel TV    

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here