Gaza: Hamas menyuarakan penghargaannya selepas Rusia dan China menggunakan kuasa veto membantah draf resolusi Amerika Syarikat (AS) mengenai gencatan senjata Gaza pada mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Kami merakamkan penghargaan terhadap kedudukan Rusia, China dan Algeria yang menolak resolusi pencerobohan AS yang berat sebelah terhadap rakyat kami,” kata kumpulan itu dalam kenyataan.
Hamas berkata, draf itu mengandungi kenyataan mengelirukan yang bersubahat dengan Israel dan membenarkan perlindungan serta keabsahan untuk melakukan genosid terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
Algeria, negara Arab yang kini menganggotai Majlis Keselamatan turut mengundi menentang draf itu dan menaja bersama draf baharu yang lebih tegas yang dijangka akan diadakan pada Sabtu, tetapi berisiko untuk veto AS.
AS mengemukakan resolusi yang menyokong ‘keperluan gencatan senjata segera dan berterusan’ dan buat pertama kalinya mengutuk serangan 7 Oktober oleh Hamas.
Setiausaha Negara AS Antony Blinken berkata, Rusia dan China telah ‘menggunakan veto secara sinis’ terhadap teks yang disokong AS itu.
“Mengenai resolusi itu, yang mendapat sokongan yang sangat kuat, tetapi kemudiannya diveto secara sinis oleh Rusia dan China, saya fikir kami cuba menunjukkan kepada masyarakat antarabangsa keperluan mendesak untuk mendapatkan gencatan senjata,” katanya kepada pemberita di Israel. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






