KUALA LUMPUR: Keyakinan terhadap prospek pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli terus meningkat menjelang aksi pembuka tirai Moto3 di Grand Prix (GP) Thailand minggu ini apabila mendapat sokongan padu daripada pengurusan pasukan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Memetik laporan Harian Metro, pengurus SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin percaya tiga penampilan musim lalu sudah memberi gambaran jelas kepada Hakim Danish mengenai tekanan sebenar di pentas dunia.
“Saya harap dia dapat beri aksi terbaik pada musim penuh pertamanya. Sekarang masa untuk dia terjemahkan pengalaman itu kepada keputusan lebih baik,” kata Zulfahmi yang juga bekas pelumba Moto3.
Walaupun berstatus ‘rookie’, tiada sasaran kedudukan spesifik diletakkan, namun pasukan tetap mengintai sekurang-kurangnya satu podium musim ini.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari memaklumkan beliau sudah bertemu Hakim Danish dan pasukannya bagi memberi suntikan semangat sebelum perlumbaan.
Beliau turut menjemput Hakim Danish berbuka puasa bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Wilayah Kuala Lumpur minggu lalu.
“Kita ada perbincangan panjang untuk beri semangat kepada beliau. Di Thailand ini kita harapkan yang terbaik. Terus kekal semangat membanggakan Malaysia dan saya yakin dia boleh pergi lebih jauh,” katanya selepas melancarkan My Athlete Centre dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama MACE Partners di Pavillion MSN di sini hari ini.
Menurut beliau, Perdana Menteri turut terkejut apabila mengetahui Hakim Danish sudah mula menunggang sejak usia tujuh tahun.
“Itu satu kebanggaan. Dia datang dari Terengganu dan bukan daripada keluarga berlatar belakang MotoGP, tetapi hasil program akar umbi kita berjaya lahirkan atlet seperti ini.
“Sebab itu KBS akan terus bekerja rapat dengan semua pihak untuk lahirkan lebih ramai atlet akar umbi,” katanya. – HMetro Online –
IMedikel TV






