Home Hiburan HAEL TAK SANGKA TIKET SHOWCASE LICIN DALAM 17 MINIT

HAEL TAK SANGKA TIKET SHOWCASE LICIN DALAM 17 MINIT

281
0

KUALA LUMPUR: Ada hikmah di sebalik pembatalan Konsert Hael Husaini Live In KL, dua tahun lalu akibat masalah kesihatan dialami penyanyi dan komposer, Hael Husaini.

Memetik laporan Berita Harian selepas dua tahun, Hael atau nama sebenar Hal Husaini Razmi, 38, kini lebih bersedia, malah tidak menyangka showcase Hael Husaini Antonim Night pada 31 Mei ini habis dijual dalam tempoh 17 minit.

Hael berkata, showcase selama dua jam itu boleh dikatakan mengubati kerinduan peminat yang hampa dengan pembatalan konsertnya.

“Showcase ini umpama mengubati kekecewaan peminat yang pernah membeli tiket Konsert Hael Husaini Live In KL yang terpaksa dibatalkan. Jadi, saya hadirkan hadiah baru, iaitu Hael Husaini Antonim Night yang lebih ‘intimate’.

“Kalau mahu diikutkan persembahan ini bukanlah pemberian selepas konsert yang tidak menjadi. Ini disebabkan selepas pembatalan konsert, saya ada mengadakan konsert di Pulau Pinang.

“Tapi, showcase kali ini lebih kepada menghargai peminat dengan mendendangkan lagu daripada album Antonim,” katanya yang ditemui pada majlis sidang media Hael Husaini Antonim Night di ibu negara, baru-baru ini.

Hael Husaini Antonim Night bakal berlangsung di Nero Event Space, Petaling Jaya Perfoming Art Centre (PJPAC) pada 31 Mei ini.

Justeru, Hael mengakui sangat terharu dan menghargai peminat yang membeli tiket dalam tempoh singkat.

“Saya agak terkejut dan tak pernah sangka ada pengikut yang membeli tiket secepat ini. Saya jangka mungkin jualan tiket mengambil masa sehari atau lebih, namun licin dalam tempoh 17 minit. Ini membuatkan saya lebih berbesar hati atas sokongan peminat,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai persembahan berkenaan, Hael berkata, selain menyanyikan 10 lagu, dia juga akan berkongsi mengenai projek akan datang. 

“Showcase ini lain daripada lain. Mungkin ada sedikit previu yang peminat saksikan untuk tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hael memaklumkan sudah menjadi rutin berehat selama seminggu dan menolak tawaran menyanyi jika terbabit dalam konsert atau acara besar.

Tambah Hael, perkara itu juga dilakukan untuk showcase. Dalam tempoh itu digunakan untuk merehatkan kotak suara supaya berada dalam keadaan baik.

“Kesihatan amat penting untuk dijaga setiap kali ingin melakukan persembahan atau acara besar. Tidak hanya saya, tetapi semua penyanyi juga sama. Sebagai penyanyi, kita harus tahu tahap dan keadaan tubuh badan.

“Seperti saya, akan cucuk vitamin C dan beberapa perkara lagi. Risau memang ada, kebanyakan penyanyi akan hilang suara setiap kali ada persembahan. Bagaimanapun, sebagai penghibur meskipun kurang sihat, show must go on,” katanya.

Tidak hanya itu, sehari lebih awal, showcase solo sulung Nadeera Zaini, An Evening With Nadeera bakal berlangsung di lokasi sama pada 30 Mei.

Dua showcase itu dibawakan oleh Mask Team dan Usanita Entertainment. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here