BIRMINGHAM, England: Aston Villa merapatkan kedudukan kepada dua mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika gol tunggal John McGinn membantu mereka mengejutkan pencabar kejuaraan Arsenal 1-0 awal pagi tadi.
Anak buah Unai Emery kini menang 15 perlawanan EPL berturut-turut di Villa Park dan dua kemenangan ke atas Manchester City dan The Gunners mencetus harapan yang tidak disangka-sangka untuk mencabar kejuaraan pertama sejak tahun 1981.
Memetik laporan AGENSI menerusi berita harian,Gol tunggal perlawanan hadir selepas hanya tujuh minit apabila kapten Villa, McGinn menyambut hantaran lintang Leon Bailey sebelum merembat ke penjuru atas gol.
“Satu minggu paling bermakna buat kami,” kata McGinn.
“Ia sebenarnya terlalu sukar memandangkan kami bermain pada hari Khamis, Ahad, Rabu, Sabtu dan saya fikir ia terserlah dalam persembahan kami malam ini, ia bukannya permainan terbaik kami, tetapi saya pastinya tidak merungut.”
Kekalahan kedua Arsenal dalam liga musim ini meninggalkan anak buah Mikel Arteta satu mata di belakang Liverpool, yang merampas tangga teratas menerusi kemenangan kontroversi 2-1 di Crystal Palace malam tadi.
Arteta terpaksa menonton aksi dari bangku penonton ketika beliau menjalani penggantungan daripada berada di tepi padang dan terpaksa menahan diriya selepas perlawanan apabila ditanya mengenai beberapa insiden kontroversi.
Arsenal berasakan mereka patut dihadiahkan sepakan penalti pada babak kedua apabila Gabriel Jesus dijatuhkan oleh Douglas Luiz. Kemudian gol Kai Havertz pada lewat aksi dibatalkan kerana bola terkena tangan.
“Saya mempunyai pandangan yang berbeza, ya,” kata Arteta. “Tetapi saya memilih untuk tidak memberikan sebarang komen.”
Kemenangan itu amat manis buat Emery, yang dipecat oleh Arsenal empat tahun lalu.
Pengendali dari Sepanyol itu membuat impak mengagumkan di Villa, sejak beliau kembali ke England lebih setahun lalu.
“Ia satu minggu sukar dan kini selepas tiga mata ini kami perlu bergembira tetapi juga perlu bertenang,” kata Emery.
“Saya akan bercakap sekali lagi apabila kami berada di perlawanan ke-32 atau 33. Hari ini kami hanya di perlawanan ke-16 dan kami bukannya pencabar (merebut kejuaraan).” – AFP-BH ONLINE-
Imedikel TV






