LOS ANGELES: Pelakon, Hayden Panettiere ditemukan dalam tidak sedarkan diri dengan jantungnya terhenti sebelum disahkan meninggal dunia, di sebuah kediaman di Greenville, South Carolina, pada Ahad, lapor ABC News.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Pejabat Koroner Greenville County dalam satu kenyataan memaklumkan, pasukan respons pertama dan perkhidmatan perubatan kecemasan bertindak susulan panggilan 911 sebelum menemukan Panettiere, 36, dalam keadaan berkenaan.
Anggota penyelamat kemudian memulakan langkah sokongan hayat jantung lanjutan, namun usaha menyelamatkan nyawanya tidak berjaya dan dia disahkan meninggal dunia pada 2.32 petang.
Bedah siasat selesai dijalankan pada Isnin dan tiada tanda trauma ditemukan yang boleh menyumbang kepada kematiannya, namun punca rasmi dan cara kematian masih menunggu siasatan lanjut serta kajian tambahan.
Difahamkan, pejabat koroner dan Jabatan Polis Greenville turut memulakan siasatan selari berhubung kematiannya, manakala Panettiere dilaporkan tinggal sementara di kediaman berkenaan.
Wakil Panettiere sebelum ini mengesahkan, kematiannya kepada ABC News pada Ahad dan memaklumkan siasatan masih dijalankan.
Bapanya, Skip Panettiere, turut meminta semua pihak menghormati privasi keluarga sambil menyifatkan anaknya sebagai insan luar biasa yang membawa kasih sayang dan kegembiraan kepada mereka yang mengenalinya serta jutaan penonton.
Panettiere memulakan kerjaya sebagai bintang kanak-kanak dan dikenang menerusi watak Claire Bennet dalam siri popular ‘Heroes’ serta Juliette Barnes dalam drama muzikal ‘Nashville’.
Dia turut membintangi filem ‘Remember the Titans’, ‘Raising Helen’, ‘Ice Princess’ dan ‘Scream 4’, serta kembali membawa watak Kirby Reed dalam francais ‘Scream’ yang ditayangkan pada Mac 2023.
Panettiere sebelum ini terbuka mengenai perjuangannya berdepan kemurungan selepas bersalin, ketagihan, proses pemulihan, trauma, keganasan rumah tangga dan kehilangan menerusi memoirnya, ‘This Is Me: A Reckoning’, yang diterbitkan pada Mei lalu.
Dia mempunyai seorang anak perempuan, Kaya Klitschko, yang dilahirkan pada 2014 hasil hubungannya dengan bekas tunang iaitu juara bekas juara dunia tinju kelas berat, Wladimir Klitschko.
Abangnya pula, Jansen Panettiere, meninggal dunia secara mengejut pada Februari 2023 akibat kardiomegali atau jantung membesar yang disertai komplikasi injap aorta ketika berusia 28 tahun. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






