Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Penantian kini menjadi kenyataan buat 40 Orang Asli peserta ‘Buyback Guarantee’ di Pekan, Tasik Chini dan Rompin apabila mereka menerima kad kebenaran memasuki hutan simpan di negeri ini.
Kad pengenalan diri julung kali diperkenalkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) itu bagi memudahkan pemegang kad berkenaan berada dalam hutan simpan dengan tujuan mencari benih pokok balak untuk di semai.
Penolong Pengarah Kanan Silvikultur Zon Timur JPNP, Mohd Saman Mohd Sanget, berkata mereka terdiri peserta di Tasik Chini seramai 23 individu diikuti Pekan (9) dan Rompin (8).
Menurutnya, jabatan kali pertama memperkenalkan kad sedemikian khusus untuk peserta program ‘Buyback Guarantee’ yang kini terbukti berjaya mengeluarkan beberapa spesies anak pokok balak.
“Setiap peserta disediakan tapak semaian terletak dalam kawasan kampung mereka, tanah hitam dan polibeg serta diberi pendedahan teknik menyemai biji benih termasuk kemudahan menjual anak benih kepada jabatan dan pihak swasta.
“Kad pengenalan ini diberi secara percuma kepada peserta ‘Buyback Guarantee’ , mereka hanya perlu menunjukkan kad mereka sekiranya anggota penguatkuasa JPNP menahan mereka dalam kawasan hutan simpan.
“Peserta ‘Buyback Guarantee’ boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 sekiranya mereka berada dalam hutan simpan tanpa kad dikeluarkan JPNP,” katanya, di sini semalam.
Tambahnya, sejak ‘Buyback Guarantee’ diwujudkan pada 2021 kejayaan mengeluarkan pelbagai spesies anak pokok balak seperti Merbau, Keruing, Meranti Tembaga, Merawan, Cengal dan Petai berjaya membantu membekalkan anak pokok berkualiti tinggi sepanjang tahun.
Sementara itu, Peserta ‘Buyback Guarantee’, Hasam Ismail, 43, berkata dengan adanya kad itu mereka lebih selamat sepanjang berada dalam hutan simpan untuk mencari anak benih pokok balak.
Katanya, kemudahan yang diberikan JPNP dapat menambahkan lagi semangatnya untuk memajukan lagi projek menyemai anak pokok balak bagi memenuhi permintaan jabatan termasuk pihak swasta.

“Ia juga menaikkan semangat saya mencari lebih banyak benih pokok balak dibeberapa kawasan hutan simpan di negeri ini. Kemudahan itu tidak ada pada pihak lain yang terbabit aktiviti hutan,” katanya yang menetap di Tasik Chini.
Projek ‘Buyback Guarantee’ turut terdapat di Cameron Highlands membabitkan Kampung Rening dan Kampung Terakit termasuk di Janda Baik di Kampung Ulu Chemperoh.
IMedikel TV






