Home Sukan CHELSEA LETAK HARGA RM562 JUTA UNTUK PEDRO NETO

CHELSEA LETAK HARGA RM562 JUTA UNTUK PEDRO NETO

LONDON: Chelsea dilaporkan menetapkan harga hampir £100 juta (RM562 juta) untuk penyerang Portugal, Pedro Neto ketika Al Hilal dan Manchester City menunjukkan minat mendapatkan khidmat pemain berusia 26 tahun itu.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Al Hilal muncul antara kelab yang serius memantau situasi Neto, namun Chelsea dilaporkan masih belum menerima sebarang tawaran rasmi daripada kelab Liga Pro Saudi berkenaan.

Manchester City turut berminat dengan Neto dan melihat pemain itu sebagai calon pengganti Savinho sekiranya pemain Brazil berkenaan berpindah ke Tottenham.

Harga yang ditetapkan Chelsea itu meningkat berbanding sekitar £70 juta yang sebelum ini dilaporkan sebagai nilai Neto.

Chelsea mendapatkan Neto daripada Wolverhampton Wanderers pada 2024 dengan bayaran sekitar £54 juta (RM297.1 juta) dan kini mahu mendapatkan pulangan lebih tinggi sekiranya pemain itu meninggalkan Stamford Bridge. 

Neto menjadi antara pemain penting Chelsea musim lalu selepas membuat lebih 50 penampilan dalam semua kejohanan, namun persaingan untuk mendapatkan tempat utama semakin sengit berikutan beberapa pemain baharu yang menyertai pasukan. 

Kehadiran Morgan Rogers antara faktor yang boleh menjejaskan peluang Neto mendapat minit permainan yang konsisten di bawah kendalian pengurus baharu, Xabi Alonso.

Bagaimanapun, Neto masih berada dalam perancangan Chelsea apabila dia diturunkan dalam dua aksi persahabatan terakhir menentang AC Milan dan Real Sociedad.

Minat Al Hilal terhadap Neto juga membuka peluang buat pemain Portugal itu untuk bergabung semula dengan beberapa rakan sepasukan di peringkat antarabangsa, termasuk Ruben Neves dan Joao Cancelo.

Neto menyertai Chelsea selepas empat musim bersama Wolves dan sejak itu sudah membuat lebih 100 penampilan untuk kelab London berkenaan.

Walaupun terdapat laporan mendakwa Neto sudah mencapai persetujuan peribadi dengan Al Hilal, perpindahan itu masih belum dimuktamadkan kerana Chelsea perlu mencapai persetujuan dengan kelab Arab Saudi berkenaan.

Chelsea pula tidak berada dalam keadaan terdesak untuk menjual Neto dan harga hampir £100 juta itu dilihat sebagai pendirian kelab sekiranya ada pihak mahu mendapatkan pemain terbabit. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here