Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Pasukan hoki lelaki dan wanita Pahang tampil bergaya memulakan saingan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 dengan kemenangan keatas lawan masing-masing semalam.
Tampil selaku pemenang pingat emas SUKMA 2022 dan SUKMA 2024, pasukan wanita Tok Gajah bimbangan Mohamad Sabri Mohamad menewaskan tuan rumah Selangor 3-1 di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), petang semalam.
Sementara skuad lelaki yang tampil bergaya terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan Pulau Pinang 5-4 bagi mencetuskan kepuasan buat jurulatih, Mohd Sufian Mohamad dan pembantunya Ismail Abu.
Bagi Mohamad Sabri, dia berpuas hati dengan persembahan dipamerkan barisan pemain yang beraksi dengan penuh semangat berhadapan lawan yang mendapat sokongan peminat tempatan.

“Walaupun sedikit tertekan pada awal permainan namun pemain bangkit mengatur persembahan yang lebih baik dan berkesan hingga mampu menghasilkan tiga gol yang amat diperlukan bagi mencetuskan peluang melangkah lebih jauh,”katanya.
Katanya, persembahan menarik yang dipamerkan barisan pemain Pahang pada perlawanan pertama semalam diharap dapat diulangi pada perlawanan kedua bertemu Sarawak petang esok yang tidak kurang hebatnya.
“Kita ingin terlebih dahulu berjaya diperingkat kumpulan A sebelum memikirkan saingan diperingkat suku akhir yang memulakan perlawanan pada Jumaat ini, peringkat separuh akhir pada Sabtu dan final pada Ahad.
“Saya penuh yakin barisan pemain Pahang yang ada mampu mencetuskan kejayaan yang diharapkan pada SUKMA Selangor kali ini, bagaimanapun saya sentiasa mengingatkan pemain supaya tidak terlalu yakin ketika turun beraksi,” katanya dihubungi di sini semalam.
Beliau menambah, selepas melalui perlawanan pertama semalam semua pemain tidak mengalami sebarang kecederaan serius, tempoh rehat sehari sebelum turun bertemu Sarawak petang esok diharap dapat mengembalikan tenaga pemain.
Sementara itu, bagi Mohd Sufian, dia berpuas hati dengan kemenangan tipis keatas Pulau Pinang semalam pada perlawanan yang begitu sengit dan mendebarkan.

“Pujian perlu diberikan kepada pemain yang tampil dengan semangat tinggi, tentangan sengit diberikan hingga ke penghujung perlawanan tanpa rasa tertekan.
“Selasa ini Pahang akan bertemu Melaka, untuk mengintai peluang melangkah ke peringkat suku akhir,” katanya.
IMedikel TV






